KUALA LUMPUR - 'Raja dadah' warga Malaysia yang diberkas di Laos pada 29 Disember lalu akan menghadapi pertuduhan di Thailand atas aktiviti pengedaran dadah.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya tidak akan membawa pulang individu berkenaan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa Thailand untuk tindakan lanjut.
"Jika Thailand mempunyai cukup bukti biar mereka ambil tindakan," katanya ketika sidang akhbar di Bukit Aman sini, pada Isnin.
Pada 2 Disember lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mengesahkan penahanan warga Malaysia di Laos.
Individu berkenaan sudah berada dalam senarai individu dikehendaki oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018.
Bukit Aman memaklumkan, penahanan lelaki berusia 41 tahun yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu dilakukan hasil pertukaran maklumat dan risikan JSJN Bukit Aman dengan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) dan Biro Pembanterasan Narkotik (PNSB) Thailand.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din dilaporkan berkata, lelaki berkenaan disenarai hitam selepas disyaki menjadi dalang utama sindiket pengedaran dadah di kawasan Segi Tiga Emas membabitkan tiga negara iaitu Myanmar, Laos dan Thailand sejak 2006.
Tindakan menyenarai hitam dilakukan selepas pihak berkuasa Thailand menahan tujuh rakyat mereka dengan rampasan 998 kilogram methamphetamine di wilayah Ratchaburi pada Jun tahun lalu.