SVTP bakal bawa pelaburan RM14 bilion, 13,000 pekerjaan

Iklan
Saarani (tiga dari kanan) mendengar penerangan mengenai projek SVTP sempena Majlis Pemeteraian Usaha Sama SVTP di sebuah hotel di sini pada Isnin.

IPOH - Pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) yang di Kanthan, Chemor di sini bakal membawa pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik bernilai RM14 bilion dalam tempoh lima hingga 10 tahun.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan kawasan itu juga dijangka bakal menyediakan 13,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Perak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasrat itu akan direalisasikan melalui kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dengan anak syarikatnya Perak Corporation Berhad bersama rakan strategik, Advancecon Holdings Berhad.

"Melalui pemeteraian perjanjian usahasama itu, ketiga-tiga pihak akan menggabungkan sumber, kepakaran, kemahiran, pengetahuan dan keupayaan dalam pembangunan SVTP.

Iklan

"SVTP yang terletak di lokasi strategik di antara Taman Perindustrian Kanthan dan Bandar Meru Raya, sudah pun mempunyai ekosistem sokongan termasuk kedudukannya yang berdekatan dengan kemudahan asas sedia ada yang turut memberikan nilai tambah dalam menarik pelabur," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemeteraian Usaha Sama SVTP di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Saarani (empat) dari kiri menyempurnakan Majlis Pemeteraian Usaha Sama SVTP di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Hadir sama dalam sidang akhbar itu, Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Iklan

Saarani turut optimis bahawa pembangunan SVTP tersebut akan memberikan alternatif kepada graduan Perak untuk menggalakkan mereka kembali menyumbang kepada negeri melalui peluang pekerjaan yang disediakan.

Sementara itu beliau menjelaskan, isu petani setinggan di kawasan SVTP berjaya diselesaikan sepenuhnya.

Menurutnya, sebarang perancangan yang tertangguh sebelum ini di kawasan tersebut akan dapat dilaksana tanpa masalah.

Cadangan pembangunan SVTP seluas 330.2 hektar di Kanthan itu melibatkan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.03 bilion.

Pada majlis tersebut turut berlangsung pertukaran dokumen perjanjian di antara PKNPk dengan Perak Corporation Berhad dan Perak Corporation Berhad dengan Advancecon Holdings Berhad.