Perhilitan pantau lokasi penemuan buaya

Iklan
Tular video memaparkan dua ekor buaya atas beting pasir di kawasan sungai dipercayai berhampiran Kawasan Perindustrian USJ pada Ahad.

SUBANG JAYA - Orang ramai khususnya pemancing dinasihatkan menjauhkan diri dari lokasi penemuan dua ekor buaya yang dipercayai di sungai berhampiran Kawasan Perindustrian USJ dekat sini.

Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, pihaknya sedang menjalankan pemantauan di sekitar lokasi penemuan buaya berkenaan.

Iklan
Iklan

"Setakat ini pihak kami belum menerima laporan berkaitan kejadian, namun siasatan dijalankan berdasarkan satu video tular berkaitan penampakan dua reptilia terbabit.

"Selain itu pemantauan di lokasi sedang dijalankan dari semasa ke semasa," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar mengutamakan keselamatan sekiranya berada di lokasi terbabit.

"Difahamkan kawasan berkenaan menjadi lokasi pemancing, jadi kita nasihatkan supaya ambil langkah keselamatan.

Iklan

"Sebaiknya elakkan daripada berada di lokasi penemuan buaya tersebut," katanya.

Pada Ahad, tular video diambil orang ramai berkaitan penemuan dua ekor buaya atas beting pasir di kawasan sungai dipercayai berhampiran Kawasan Perindustrian USJ dekat sini.