TELUK INTAN - Seramai 59 pendatang asing tanpa izin (PATI) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Isnin kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah dan tinggal lebih masa.
Kesemua PATI terdiri daripada 58 warga Indonesia dan seorang Nepal berusia antara 20 hingga 64 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.
Mengikut pertuduhan, 33 daripada imigran tersebut didakwa memasuki Malaysia tanpa pas yang sah di kebun sawit tepi Jalan Pasir Kampung Sungai Tiang Baroh, Selekoh dalam daerah Hilir Perak sekitar jam 10.30 pagi pada 28 Disember lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, serta sebatan tidak lebih enam sebatan.
Seramai 26 lagi PATI didakwa tinggal di negara ini setelah tamat tempoh sah lawatan ketika ditahan di kebun sawit Lorong 1, Jalan Ban Persisiran Laut Bagan Sungai Tiang dekat Selekoh jam lebih kurang 6.30 pagi pada hari yang sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-dua sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan manakala semua PATI kalangan 40 lelaki dan 19 wanita itu tidak diwakili peguam.
Tiada sebarang jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 19 Januari ini untuk sebutan semula kes.
Pada 28 Disember lalu, media melaporkan cubaan 60 warga asing meninggalkan perairan negara gagal apabila ditahan polis di sebuah kebun kelapa sawit di Bagan Sungai Tiang dekat Selekoh.
Pergerakan kumpulan itu dikesan hasil maklumat orang awam yang melihat bot dalam keadaan mencurigakan tersadai di pesisir pantai di lokasi sama pada 3.45 pagi.
Hasil siasatan polis mendapati bot terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia namun tersadai akibat kerosakan enjin.