GEORGE TOWN -"Jika saya mahu popular, saya minta Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tangguh operasi, tunggu Ketua Menteri baru pikul tanggungjawab ini."
Demikian tegas Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengenai kritikan banyak pihak berhubung gangguan bekalan air yang akan melibatkan 80 peratus penduduk Pulau Pinang mulai 10 Januari.
Kon Yeow berkata, ketika ini, bukan masanya untuk beliau dan PBAPP memberi alasan mahu pun penjelasan, sebaliknya bersedia untuk menghadapi gangguan bekalan air selama lima hari itu dengan sebaiknya.
"Kalau saya mahu jadi popular, saya sudah minta tangguh, biar Ketua Menteri baru yang seterusnya pikul tanggungjawab ini. Tetapi kewajipan, tanggungjawab dan hati nurani saya tidak membenarkan saya buat begitu.
"Kita sudah bersiap sedia untuk menghadapi 'peperangan' ini dengan membuat persediaan yang secukupnya," katanya ketika ditemui ketika meninjau tangki jumbo di pekarangan Stadium Bandaraya di sini pada Isnin.
Sebelum ini, tular sebuah klip video mengenai teguran Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng selepas Ketua Eksekutif PBAPP, K Pathmanathan memaklumkan, rakyat perlu menyimpan air sekurang-kurangnya cukup untuk kegunaan selama dua hari sepanjang masa.
Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih menggesa lebih banyak lori tangki air ditempatkan di kawasan paling terjejas kerana ia lebih utama berbanding meminta rakyat menyimpan air.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, PBAPP dan kerajaan negeri kini sedang memfokuskan kepada operasi penggantian injap kawalan serta kerja-kerja berkaitan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.
"Sebenarnya saya tidak bersedia untuk bercakap tentang alasan dan beri penjelasan lagi, kita sudah sampai ke peringkat 'countdown' 48 jam.
"Saya rasa apa-apa kritikan, alasan dan penjelasan, sudah mencukupi (dibuat) dalam tempoh satu bulan ini. Tak perlu gaduh, tak perlu pertikai.
"Kita sedang memfokuskan segalanya untuk memastikan operasi mengganti injap-injap kawalan dan semua kerja berkaitan dapat dijalankan secara lancar dengan cuaca baik, tiada gangguan teknikal, tiada insiden tiba-tiba banjir di Sungai Muda dan lain-lain," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, banyak faktor lain yang boleh mempengaruhi kerja-kerja tersebut tetapi beliau berharap ia berjalan dengan lancar dalam tempoh yang ditetapkan.
"Setelah kerja ini habis, maka mula proses pemulihan antaranya membawa air ke Sungai Muda semula," katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada penjawat awam di negeri ini diberi kelonggaran bekerja di rumah sepanjang tempoh gangguan tersebut, Kon Yeow berkata, tiada arahan kelonggaran tersebut dikeluarkan setakat ini.
"Saya rasa dalam krisis sedemikian, penjawat awam perlu turun ke lapangan dan padang untuk membantu dalam apa bentuk, bukan berada di rumah," katanya.
Sebelum ini, PBAPP mengumumkan sebanyak 590,000 akaun pengguna bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 10 hingga 14 Januari ini.
Ia termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama di negeri ini.
Kawasan yang terjejas termasuk majoriti di kawasan Seberang Perai manakala di bahagian pulau ialah Pulau Tikus, George Town, Jelutong, Gelugor, Bukit Jambul, Relau, Bayan Lepas, Bayan Baru, Batu Maung, Teluk Kumbar dan Balik Pulau.
Bagaimanapun, kawasan Air Itam, Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Teluk Bahang tidak terjejas kerana kawasan tersebut mendapat bekalan air dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.
Gangguan tersebut akan berlaku selama lima hari untuk membolehkan PBAPP menjalankan kerja pembaikan paip segera di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.
Kerja pembaikan paip tersebut melibatkan penggantian dua unit injap kawalan utama sebesar 1,200 milimeter (mm) dalam saluran paip air terawat utama dalam LRA yang bocor.