KOTA TINGGI - Bandar Kota Tinggi hampir lumpuh akibat banjir selepas hujan lebat seawal jam 1.30 pagi sehingga tengah hari Ahad.
Tinjauan Sinar Harian di bandar ini pada Isnin mendapati terdapat kedai-kedai ditutup manakala pasar raya dan premis-premis yang tidak terjejas dibuka serta orang ramai masih berurusan seperti biasa.
Keadaan cuaca pada sebelah pagi di bandar ini cerah dan panas namun pada jam 12 tengah hari hujan melanda semula.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, taburan air hujan yang tinggi selama beberapa jam itu mengakibatkan limpahan air dari beberapasungai masuk ke beberapa batang jalan di bandar ini dan juga ke kawasan penempatan penduduk.
"Sehingga jam 12 tengah malam tadi Jalan Tun Sri Lanang di bandar ini ditutup bagi kegunaan semua jenis kenderaan memandangkan laluan ini telah ditenggelami air setinggi 0.6 meter dengan jarak 650 meter.
"Kekuatan pegawai serta anggota bagi mengawal situasi di kawasan berkenaan telah digerakkan sejak air limpahan mulai memasuki kawasan bandar Kota Tinggi pada sebelah petang semalam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau menasihatkan orang ramai yang mahu keluar masuk ke kawasan bandar ini agar menggunakan jalan alternatif iaitu jalan pintasan.
Hussin juga mengingatkan orang ramai agar tidak menjadikan banjir sebagai pesta air dan sentiasa berhati-hati semasa memandu terutama pada waktu malam dengan mematuhi papan tanda amaran serta lencongan yang ditempatkan di kawasan-kawasan terjejas banjir.
Dalam pada itu, peniaga Gerai Belangkas Mahkota di bandar ini, Mohamad Hit Abdul Hamid, 52, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang dalam kedai kerana air naik begitu cepat.
"Saya sudah tidak boleh masuk kedai, hanya nampak dari luar peti ais dan barang-barang lain terapung dari luar. Tak sempat pindah barang kerana semalam semasa air naik tidak berniaga.
"Kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000 dan ini kali pertama banjir pada tahun ini. Banjir tahun lepas berlaku sekali tetapi tidak seteruk ini," ujar bapa kepada dua anak yang sudah 24 bertahun berniaga itu.
Pemandu lori, Mohd Nor Zakaria, 52, yang membawa muatan dari Ulu Tiram, Johor Bahru untuk dihantar ke sebuah kedai di bandar ini terpaksa berpatah balik kerana jalan utama sudah ditenggelami air banjir lebih dua meter.
"Saya tidak boleh tunggu lagi kerana biasanya apabila banjir air akan surut antara tiga sehingga tujuh hari. Tiada lori atau treler yang berani redah banjir untuk ke bahagian tengah bandar kerana berisiko," ujarnya.
Seorang kontraktor, Tan Hong Ming, 66, mendakwa banjir mengambil masa lama untuk surut kerana kedudukan bandar ini rendah dan menerima limpahan air dari kawasan berdekatan.
"Saya harap banjir di bandar ini tidak berlaku seperti pada 2006 atau 2007 yang paling buruk dalam sejarah. Kalau hujan lebat berterusan tidak mustahil boleh berlaku lagi," ujar bapa kepada empat anak itu.