GEORGE TOWN - Peruntukan lori tangki dan tangki air statik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tidak diutamakan mengikut kawasan negeri dan (atau) Parlimen ketika gangguan bekalan air di negeri ini mulai Rabu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen (MP) telah memohon bagi peruntukan yang lebih baik diberikan kepada kawasan masing-masing dalam menangani isu tersebut.
Menurutnya, pemberian perkhidmatan tersebut akan diberikan berdasarkan tiga faktor utama.
"Kita faham komitmen ADUN dan ahli Parlimen dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada kawasan seliaan masing-masing.
"Bagaimanapun, peruntukan lori tangki dan tangki air statik telah dirancang secara seimbang berdasarkan tiga faktor utama iaitu permintaan air dan bilangan pengguna di kawasan perkhidmatan PBAPP.
"Perlu dingat bahawa PBAPP adalah operator bekalan air negeri yang mempunyai lesen untuk berkhidmat di seluruh negeri Pulau Pinang," katanya ketika ditemui ketika meninjau tangki jumbo di pekarangan Stadium Bandaraya di sini pada Isnin.
Beliau yang juga Pengerusi PBAPP berkata, faktor kedua adalah keseluruhan laluan pergerakan lori tangki yang dirancang dan lokasi stesen pengisian semula tangki.
"Faktor ketiga adalah berdasarkan pelan pemulihan perkhidmatan bekalan air empat peringkat PBAPP," tambah beliau.
Difahamkan sebelum ini, ada desakan daripada beberapa pihak yang meminta PBAPP menambah bilangan kontena air besar di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) iaitu 30 kontena air besar dan lima tangki lori air.
Desakan itu juga mendakwa, sekiranya 35 daripada 40 KADUN di Pulau Pinang terjejas dengan gangguan tersebut, ia bermakna PBAPP perlu membekalkan 175 lori tangki air dan lebih 1,000 kontena air besar.
Kata Kon Yeow lagi, mengikut pelan pemulihan bekalan air empat peringkat, bekalan air untuk 33 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas akan dipulihkan dalam tempoh 48 jam.
"Dalam tempoh 72 jam, bekalan air harus dipulihkan untuk 84 peratus daripada pengguna yang terjejas. Ini bermakna majoriti pengguna air yang terjejas sepatutnya memperoleh bekalan air dalam tempoh tiga hari atau lebih awal.
"Baki 16 peratus pengguna terjejas akan menerima bekalan air dalam tempoh 96 jam. Pengguna terakhir yang menerima air ialah pengguna di kawasan hujung paip agihan (EoL) dan kawasan tanah tinggi.
"Peringkat pertama proses, Seberang Perai akan menerima bekalan air pada 12 Januari, Rumah Pam Bukit Dumbar dan George Town dan kawasan daerah Barat Daya pada 13 Januari manakala 14 Januari adalah Rumah Pam Bukit Gedung serta Teluk Kumbar," katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kesemua 99 lori tangki yang akan digunakan ketika gangguan bekalan air berjadual (SWSI) pada 10 Januari ini telah bersedia sepenuhnya untuk digerakkan.
"Semua tangki statik yang telah didirikan telah diisi dengan air. Tangki ini termasuk 97 tangki statik yang didirikan oleh PBAPP (termasuk 19 tangki fleksi gajah yang boleh menyimpan sehingga 24,000 liter air setiap satu).
"Semua tangki lain yang disediakan oleh ADUN dan ahli Parlimen," katanya.