Patutlah lari, positif dadah rupanya

Iklan
Dua individu termasuk seorang wanita ditahan selepas cuba lari daripada pemeriksaan polis, manakala dua lagi suspek masih diburu.

REMBAU - Gara-gara takut ditangkap polis kerana berada di bawah pengaruh dadah, menyebabkan sebuah kereta dinaiki empat individu termasuk seorang wanita nekad merempuh kereta peronda polis (MPV) ketika diarahkan berhenti di hadapan Masjid Kampung Penajis di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, dua daripada mereka berjaya ditahan dekat Kota, di sini, selepas kereta Proton Wira dinaiki terbabas ke belukar ketika cuba melarikan diri.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, siasatan awal mendapati MPV Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau yang membuat rondaan cuba menahan kereta berkenaan untuk pemeriksaan.

Kereta suspek yang terbabas masuk ke tebing sebelah kiri jalan.

"Namun Proton Wira tersebut terus memecut ke arah Kampung Relong Penajis sehingga sampai di hujung jalan kampung yang merupakan jalan mati.

Iklan

"Pemandunya cuba membuat pusingan U dan pada masa sama polis keluar dari kenderaan untuk menahan kereta berkenaan, tapi pemandu dikatakan cuba melarikan diri dengan merempuh anggota MPV tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, anggota yang dilanggar itu terjatuh ke jalan, manakala Proton Wira dinaiki suspek terbabas masuk ke tebing sebelah kiri jalan.

Iklan

Tambahnya, pemandu Proton Wira serta dua lelaki keluar dari kenderaan tersebut dan melarikan diri ke arah belukar.

"Seorang wanita berusia 31 telah dapat ditangkap dan dibawa ke IPD Rembau untuk siasatan lanjut.

"Tidak lama kemudian seorang lagi suspek lelaki ditahan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis. Kedua-dua suspek ini didapati positif dadah, namun pemeriksaan tidak menemui bahan terlarang berkenaan," katanya.

Jelas beliau, dua lagi suspek masih diburu dengan salah seorang daripadanya sudah dikenal pasti identiti.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.