Sanggup dayung sampan 1 jam redah banjir beli barang keperluan

Iklan
Bih Soon (gambar kecil) bersama jirannya menaiki sampan meredah banjir di bandar Kota Tinggi untuk membeli barang keperluan, pada Isnin. (Gambar kecil: Bih Soon)

KOTA TINGGI - Seorang mangsa banjir di Kampung Tembioh di sini lebih rela mendayung sampan selama satu jam meredah banjir untuk ke kedai di bandar ini untuk membeli barang keperluan daripada tinggal selesa di pusat pemindahan sementara (PPS).

Tam Bih Soon, 60, berkata, dia enggan berpindah kerana bimbang rumahnya yang dinaiki banjir setinggi satu meter sejak Ahad dimasuki pencuri selepas difahamkan tiada pihak berkuasa mengawasi rumah penduduk ketika ini.

Iklan
Iklan

"Saya juga mahu membersihkan rumah kerana air banjir turun sedikit hari ini. Ada yang minta saya pindah ke PPS di bandar ini tetapi buat masa sekarang masih belum mahu lagi, saya dan beberapa jiran bimbang keselamatan di rumah," katanya ditemui pemberita pada Isnin.

Pada pagi Isnin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan operasi penyelamatan mangsa banjir yang terperangkap di kediaman masing-masing terutama warga emas serta bayi di Kampung Tembioh, Kampung Makam, bandar ini dan kawasan sekitarnya.

Iklan

Sementara itu, mangsa banjir yang terperangkap di Taman Kemang, Noordiyana Zakaria, 33, berkata, dia bersama ibu berusia 60-an, kakak, 36, dan anaknya berusia lima tahun terperangkap sejak malam Ahad ekoran air naik mendadak dan hanya duduk di tingkat dua rumah sementara menunggu bantuan tiba.

Noordiyana bersama anaknya diselamatkan pihak berkuasa selepas terperangkap dalam rumahnya kerana banjir di Taman Kemang, Kota Tinggi pada Isnin

Katanya, mereka hanya menjamah roti dan makanan segera sebagai alas perut sebelum diselamatkan pasukan penyelamat pagi Isnin.

Iklan

"Ada pasukan penyelamat datang untuk keluarkan ibu saya semalam, tetapi ketika itu saya keluar ke bandar Kota Tinggi atas urusan penting. Ibu mahu menunggu saya pulang untuk berpindah ke PPS. Saya tiba di rumah 20 minit kemudian, ketika itu di kawasan Kampung Kelantan dinaiki air hingga lebih setengah meter.

"Kita keluar sebab risau, air tidak menunjukkan tanda surut dan semakin naik. Tadi semasa tinggalkan rumah air paras tangga pertama, tetapi luar rumah sudah paras dada," katanya.

Pesara Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Ahmad Sujang, 71, pula mengakui kenaikan air banjir kali ini lebih cepat dan deras berbanding banjir pada Mac tahun lalu.

Ujarnya, walaupun air banjir di kediamannya hanya berada pada paras kira-kira 0.2 meter tetapi air di luar kawasan perumahan itu sudah melebihi satu meter.

"Air naik terlalu laju, bermula petang semalam. Dalam tempoh masa tiga jam sahaja air sudah masuk ke dalam rumah. Kali ini banjir lagi teruk berbanding awal tahun lepas, kalau tahun lepas kami sempat naikkan selamatkan barang apa yang penting.

"Barang elektrik semua tidak dapat diselamatkan, saya hanya fikir untuk selamatkan nyawa sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Mohd Shawaluddin Ami Nordin berkata, operasi itu melibatkan tiga bot dan dua lori lima tan yang bermula awal pagi Isnin.

Anggota bomba menyelamatkan mangsa-mangsa banjir yang terperangkap dalam rumah sekitar kampung dan taman di bandar Kota Tinggi pada Isnin.

"Bermula awal pagi kita sudah terima tujuh panggilan untuk operasi penyelamatan mangsa banjir. Situasi banjir hari ini, air masih berarus dan ramalan cuaca dikatakan pada sebelah petang akan hujan. Sebelum petang kita akan selesaikan operasi menyelamat," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora pula berkata, sejak air naik mendadak pada jam 9 malam Ahad hingga 4 pagi Isnin, seramai 112 orang awam yang terperangkap berjaya diselamatkan.

"Dalam situasi kita menyelamatkan mangsa semasa banjir yang kita percaya terperangkap di dalam bandar, kita menghadapi kesukaran di peringkat awal kerana mangsa-mangsa ini enggan berpindah.

"Mangsa banjir yang terperangkap berfikir bahawa keadaan situasi yang berlaku itu (banjir) sekejap dan tidak berbahaya, namun demikian usaha dan sikap profesional yang ditunjukkan agensi penyelamat kita, semua 112 orang yang terperangkap berjaya dikeluarkan dan ditempatkan di PPS," tambahnya.