KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak memohon pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), agar mengambil tindakan terhadap dokumentari Man on the Run yang ditayangkan dalam perkhidmatan penstriman Netflix atas alasan ia sangat subjudis dan menghina kesnya yang sedang berjalan.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa dokumentari berdurasi satu jam 38 minit itu sangat subjudis kepada anak guamnya dan pihak pendakwaan terikat dengan tanggungjawab untuk mengambil tindakan segera.
Man on the Run adalah dokumentari diarahkan, ditulis dan diterbitkan oleh Cassius Michael Kim, berkisar mengenai skandal 1MDB yang ditayangkan di negara ini pada 19 Oktober lepas dan disiarkan di Netflix pada Jumaat lalu (5 Januari) yang turut menampilkan wawancara dengan Najib selama hampir 10 minit, yang beliau menafikan terlibat dalam skandal itu.
Peguam itu berkata, suara latar dalam dokumentari itu berkata Jho Low mencuri wang itu dan ahli politik membantu serta bersubahat.
Apabila kenyataan sedemikian dibuat, hanya seorang ahli politik yang akan terlintas di fikiran orang ramai.
"Dalam keadaan yang lebih serius, bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Tommy Thomas turut mengambil bahagian dalam temu ramah itu dan membuat kesimpulan (mengenai Najib dan Jho Low) di luar mahkamah," kata Muhammad Shafee.
Peguam itu turut mengkritik kenyataan oleh beberapa individu dalam dokumentari itu seperti Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan bekas Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, John Malott.
"Bolehkah saya jemput Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib untuk menonton dokumentari itu dan membawa isu ini sama ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri agar tayangannya ditarik kerana semua ini (wawancara) dalam dokumentari adalah sepenuhnya subjudis.
"Kami juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap Thomas dan Rewcastle-Brown atas kenyataan yang didakwa mereka (dalam dokumentari itu)," katanya.
Mengulas perkara itu, Ahmad Akram berkata, beliau baru mengetahui mengenai dokumentari itu baru-baru ini dan belum melihatnya lagi.
"Saya perlu menontonnya terlebih dahulu dan melihat sama ada saya perlu melaporkannya kepada AG dan mendapatkan arahan lanjut daripada beliau.
"Rakan saya yang arif juga perlu menulis surat kepada MCMC dan KDN berhubung isu ini," katanya.
Muhammad Shafee berkata, beliau akan menulis kepada pihak berkuasa berkaitan secepat mungkin.
Hakim Sequerah mengambil maklum mengenai aduan itu.
Perbicaraan bersambung dengan saksi pendakwaan ke-49, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Ariffin membacakan pernyataan saksinya.
Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung petang ini. - Bernama