IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak membuat laporan polis berhubung isu komplot yang sedang diatur beberapa pihak untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua AMK negeri, Zaim Sidqi Zulkifly berkata, laporan itu dibuat susulan kenyataan seorang blogger yang mendakwa terdapat usaha dilakukan kalangan ahli Parlimen pembangkang menerusi Langkah Dubai.
Menurutnya, isu tersebut adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan apatah lagi video-video yang diterbitkan beberapa tokoh politik berpengaruh telah mendapat reaksi ramai.
"Tindakan mereka ini juga boleh disimpulkan sebagai melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen kerana menimbulkan keresahan dan ketidaktenteraman awam," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Isnin.
Beliau berkata, AMK Perak yakin, langkah sedang diatur itu mungkin juga melibatkan pihak-pihak yang tidak mahu menjadi mangsa siasatan beberapa kes rasuah yang sedang dan akan disiasat.
Katanya, gerakan seumpama itu jelas bertentangan dengan Seksyen 124B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.
"Cubaan jahat ini mesti digagalkan dan tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen tidak terus mengganggu keamanan dan keselamatan negara," katanya.
Langkah Dubai yang kecoh sejak seminggu ini didakwa telah berjaya mengumpulkan 123 akuan sumpah (SD) daripada ahli Parlimen yang mendakwa sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.
Kumpulan yang didakwa terlibat dengan Langkah Dubai itu juga sudah mencadangkan tiga orang calon perdana menteri baharu untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.