GEORGE TOWN - Tiada larangan di sisi hukum syarak bagi seseorang Muslim menyelit ayat al-Quran atau hadis Nabi di dalam ucapan atau pidato.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan tradisi memetik ayat al-Quran di dalam ucapannya adalah satu langkah yang baik dan amat dialu-alukan.
"Memang wajar bagi seorang pemimpin Muslim berbuat demikian kerana kalam Illahi dan Rasul merupakan dalil yang utama untuk dijadikan hujah terhadap kebenaran apa yang ingin disampaikan di dalam ucapan.
Sebelum ini, Anwar menyatakan hasratnya akan terus menggunakan petikan ayat suci al-Quran dan tafsirannya dalam ucapan beliau.
Ia susulan ucapan beliau pada bulan lalu mengenai tujuh pemuda Ashabul Kahfi menerima kecaman daripada pelbagai pihak.
Menurut Anwar lagi, bagi mengelakkan kontroversi beliau akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlebih dahulu.
Wan Salim berkata, hasrat Anwar untuk merujuk kepada Jakim terlebih dahulu adalah wajar.
"Memang itu lah yang paling baik untuk mengelakkan tersalah petikan dan dijadikan isu kontroversi oleh mana-mana pihak yang suka mencari kesalahan Perdana Menteri," katanya.