GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya menjalankan siasatan segera ke atas kenaikan harga bawang merah India.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kenaikkan yang disifatkan terlalu tinggi itu amat membimbangkan kerana ia jelas membebankan pengguna.
"CAP amat bimbang dengan kenaikan harga bawang merah India yang dijual di pasaran di negeri ini. Tinjauan di pasaran yang dijalankan menunjukkan harga bawang yang diimport dari India ketika meningkat kepada RM9 sekilogram.
"Semasa perayaan Krismas, harga bawang dikawal pada RM5 sekilogram dan telah meningkat hampir 100 peratus dalam tempoh kira-kira dua minggu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, Mohideen menggesa pihak berkuasa berkaitan menyiasat sama ada kenaikan harga bawang merah India tersebut wajar atau sebaliknya.
"Ini kerana, pemborong mendakwa salah satu faktor kenaikan harga bawang adalah kerana bekalan dari India telah dihentikan.
"Mereka juga mendakwa, daripada satu guni 10 kilogram bawang import, hanya 60 peratus sahaja boleh dijual, selebihnya telah rosak dan busuk," katanya.