SHAH ALAM - Warganegara Malaysia yang melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak di luar negara secara dalam talian boleh dianggap sebagai melakukan jenayah di dalam negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu termaktub dalam Seksyen 3, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792].
Katanya, peruntukan itu membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap warganegara Malaysia yang melakukan kesalahan sedemikian di luar negara.
"Kerajaan kini sedang menjalankan kajian sewajarnya bagi meluaskan skop perlindungan undang-undang ini bagi merangkumi situasi di mana kesalahan dilakukan terhadap kanak-kanak Malaysia oleh mana-mana individu di luar Malaysia.
"Perkembangan undang-undang ini bertujuan untuk memberikan perlindungan yang lebih baik kepada mangsa kanak-kanak warganegara tanpa mengira geografi pelaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, Kerajaan Perpaduan akan terus bekerjasama rapat dengan rakan sejawat antarabangsa dalam usaha global menangani jenayah keji ini.
"Perlindungan kanak-kanak daripada eksploitasi seksual dalam talian adalah tanggungjawab bersama dan Malaysia akan terus bekerjasama bersama komuniti global untuk mengatasi isu berkenaan dengan berkesan," katanya.
Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), kesalahan berkaitan dengan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam talian melibatkan enam kategori kesalahan dengan hukuman tempoh pemenjaraan selama lima tahun penjara hingga 30 tahun serta sebatan.
Menurutnya Akta 792 turut memperuntukkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dalam talian yang lain termasuklah pengantunan kanak-kanak, berkomunikasi secara seksual dnegan kanak-kanak dan menyebabkan mereka memerhati atau mendengar bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.
"Pada tahun 2023 dua pindaan baru telah dilukuskan untuk memerangi jenayah seksual terhadap kanak=kanak dalam talian: seksyen baharu 15 A Akta 792 memperuntukan kesalahan berakitan dengan persembahan seksual oleh kanak-anak.
"Manakala Seksyen baharu 5B memperuntukkan kesalahan yang berkaitan dengan pemerasan seksual kanak-kanak,” katanya.