SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peluang terakhir untuk menukar kerajaan di luar pilihan raya umum (PRU) adalah hanya melalui usul tidak percaya di Parlimen.
Justeru menurutnya, dakwaan kewujudan akuan bersumpah (SD) yang disebut-sebut oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hanya permainan persepsi semata-mata.
"Kalaupun ada ahli-ahli Parlimen yang menandatangani SD, bermakna mereka sendiri takut untuk menzahirkan sokongan terbuka.
"Mungkin sebab itulah pembangkang tidak berani mencadangkan usul tidak percaya walaupun berkali-kali PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mencabar mereka melakukannya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan dibuat Sanusi yang mendakwa PN sudah mempunyai jumlah SD mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Asyraf Wajdi menyifatkan antara faktor lain bahawa SD hanya mainan persepsi adalah apabila Yang di-Pertuan Agong juga sudah berkali-kali menitahkan baginda tidak akan melayani sebarang persembahan SD untuk menukar kerajaan.
Selain itu katanya, pembangkang yang hanya tinggal 69 orang memerlukan 43 orang lagi untuk mencukupkan 112 sokongan.
"Gabungan Parti Sarawak (GPS) terutamanya ahli-ahli Parlimen bukan Islam sudah menyatakan dengan tegas tidak akan menyokong Perikatan Nasional (PN) kerana dalamnya ada parti Pas.
"Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pula terikat dengan kontrak RM100 juta bon yang harus dibayar jika beralih sokongan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau tidak menyangka Sanusi sanggup bermain persepsi seolah-olah kerajaan akan tumbang dalam masa terdekat sedangkan terdapat kepimpinan PN menafikan wujud sebarang gerakan seumpama itu.
Sehubungan itu, Asyraf Wajdi turut mempersoalkan sekiranya Sanusi mahu mensabotaj ekonomi negara yang sudah melalui fasa pemulihan selepas mendapat keyakinan dan kepercayaan pelabur bahawa politik tanah air sudah stabil.
"Apakah MB Kedah mahu membiarkan rakyat terus menderita selama bertahun-tahun selepas kejatuhan BN 2018 sehingga menyebabkan ekonomi merudum teruk hingga kos sara hidup meningkat lantaran pelabur yang keluar akibat politik tidak stabil?
"Maka titik noktahkan sahaja polemik SD yang tidak menguntungkan ini. Tunggulah empat tahun sahaja lagi untuk Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan bagi memenuhi nafsu pembangkang menjadi kerajaan," katanya.