SHAH ALAM - Tindakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatannya hari ini mengundang pelbagai reaksi netizen antaranya menganggap tindakan tersebut sebagai jarang berlaku ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Melalui Twitter, netizen turut menganggap tindakan tersebut adalah lahir daripada sikap merendah diri Dr Maszlee yang lebih mengutamakan kepentingan rakyat.
Rata-rata pelayar alam maya juga turut menghormati tindakan dilakukan Maszlee dan menyifatkannya sebagai keputusan terbaik, sekali gus membuat dirinya dipandang tinggi oleh warganet.
"Terima kasih YB (Yang Berhormat) atas perjuangan sebagai Menteri Pendidikan. Saya percaya YB ada sebab sendiri atas peletakan jawatan ini. Saya bangga mempunyai menteri yang rendah diri. Zaman UMNO jarang letak jawatan ni sebab gila kuasa. 'All the best' YB," tulis @adzlanjazlan di Twitter.
Bagaimanapun, ada juga yang melahirkan rasa terkilan dengan keputusan tersebut.
@aqilahtahir memberitahu,"Saya sebagai guru rasa terkilan dengan peletakan jawatan ini tapi apalah daya saya sebagai 'semut' untuk mempersoalkannya. Terima kasih untuk keprihatinan tuan sepanjang menjadi Menteri Pendidikan dan saya doakan tuan diberikan kesihatan yang baik."
Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang mengenai peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik terjawab apabila beliau mengesahkan berundur dari Kabinet hari ini berkuat kuasa esok.
Perkara tersebut turut dikongsi beliau melalui akuan rasmi Twitternya yang mengundang pelbagai reaksi netizen.
Dr Maszlee turut memuat naik ciapan dan sekeping gambar kenyataan media yang membuktikan hari ini merupakan hari terakhir dirinya memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan selepas berkhidmat selama 20 bulan.
"Saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed kerana telah memberi peluang kepada saya untuk mengemudi Kementerian Pendidikan (KPM).
"Ia adalah hadiah terbaik kepada saya sebagai warga pendidik dan aktivis akademia. Saya percaya saya telah meletakkan asas dan hala tuju yang jelas untuk dituruti warga KPM. Ia terhimpun dan tersemat kemas dalam tiga kalimah 'Pendidikan untuk semua'.
"Saya juga percaya, ini bukanlah keputusan pengakhiran sebaliknya sebagai permulaan yang baharu. Percayalah, reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat sebagai tumpuan paling utama," katanya dalam satu kenyataan media di Twitternya.
Dr Maszlee yang baharu sahaja berkongsi perkara tersebut pada jam 4.52 petang itu kini tular di media sosial yang meraih 5,300 ulang kicau dan rata-rata netizen mengucapkan terima kasih kepada beliau atas pencapaian dan sumbangannya memberikan terbaik buat pendidikan negara.