Proses audit itu melibatkan 39,000 'pemain' industri beras bermula dari pemegang lesen borong beras, eksport, import, kilang padi, membeli padi, beras runcit dan kelulusan khas menjual benih padi bagi benih padi sah (BPS).
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagi melihat sendiri perkara tersebut beliau turun padang membuat lawatan mengejut.
"Kita bertindak bila ada fakta. Kementerian tidak mahu menghebahkan perkara tersebut (siasatan)," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.
Sebelum itu beliau mengadakan lawatan ke projek pembiakan dan penternakan lembu baka wagyu di Kampung Seneng, Jelawat di sini.
Menurut beliau, apabila bercakap soal siasatan, KPKM melalui agensinya iaitu Kawal Sedia Padi dan Beras Negara (KSPBN) melaksanakan tindakan penguatkuasaan undang-undang.
Ujarnya, ketika ini sudah ada yang didakwa, mereka akan dibawa ke mahkamah timbang tara untuk berhujah.
Mohamad memberitahu, sekiranya wujud pelanggaran pihak berkuasa akan mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat.
Media sebelum ini melaporkan, kementerian harus melakukan audit tahunan semua 39,000 pemegang lesen berkait industri padi dan beras.
Langkah itu bertujuan mengesahkan semua aktiviti yang mereka lakukan.