Hukuman atas Stampa bukti kesungguhan kerajaan pertahan kedaulatan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Kemenangan dilakar Malaysia selepas Mahkamah Sepanyol memutuskan penimbang tara Gonzalo Stampa bersalah menghina mahkamah adalah bukti kesungguhan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kedaulatan negara.

Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar berkata, usaha kerajaan bagi menghentikan tindakan Stampa daripada terus mengganggu-gugat Malaysia akhirnya membuahkan hasil apabila Mahkamah Sepanyol memutuskan penimbang tara itu bersalah dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan.

Iklan
Iklan

"Kemenangan hari ini bukti kesungguhan dan komitmen kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar untuk mempertahankan kedaulatan dan maruah tanah air kita," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi akaun X berkata selain hukuman penjara, mahkamah sama turut melarang Stampa daripada menjalankan tugasnya sebagai penimbang tara selama setahun.

Iklan

Berkongsi pendapat sama, peguam Nizam Bashir menyifatkan keputusan itu wajar diraikan oleh rakyat Malaysia kerana ia memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang ingin menjadikan khazanah negara sebagai khazanah peribadi mereka.

Beliau berkata, keputusan itu diharap mampu menyemarakkan semangat anak-anak jati Malaysia bagi memerangi rasuah dan menghapuskan tindak-tanduk pihak yang ingin membolot khazanah negara.

Iklan

"Dengan keputusan ini maka terbuktilah Stampa telah menghina mahkamah," katanya.

Peguam Christopher Leong pula berkata, keputusan itu sememangnya berita baik untuk Malaysia dalam usaha negara memperbetul dan menuntut tebus rugi bagi ketidakadilan yang melampau.

"Tahniah kepada Datuk Seri Azalina dan pasukan perundangan yang mewakili Malaysia.

"Adalah penting untuk kita tidak mudah berputus asa dalam usaha mengetepikan award timbang tara yang dipertikai dan melindungi kepentingan Malaysia," katanya. - Bernama