MONTREAL - Kira-kira tiga pegawai polis tentera dari hampir setiap pangkalan tentera Kanada diarahkan bermain Pokemon Go selepas berlaku pencerobohan ke atas kawasan itu.
Mereka ditugaskan untuk bersiar-siar di sekitar kemudahan tentera dengan telefon pintar dan buku nota bagi mencari infrastruktur dan watak maya Pokemon.
Iklan
Iklan
Difahamkan penceroboh itu bukanlah perisik atau ejen asing, sebaliknya mereka ialah peminat aplikasi permainan yang dilancarkan pada 2016 dengan 'mengembara' ke kawasan yang tidak dibenarkan.
Berdasarkan dokumen dalaman yang diperoleh stesen televisyen awam (CBC) negara itu, bilangan mereka yang ditahan menceroboh kawasan tentera pada musim panas selepas aplikasi permainan itu dilancarkan membingungkan pihak tentera.
Malah, Major Jeff Monaghan dari Pangkalan Tentera Kanada (CFB) di Kingston berkata, Fort Frontenac yang merupakan bangunan bersejarah turut menjadi PokeGym dan PokeStop.
Sementara itu, pakar keselamatan dari CFB Ontario, Toronto, David Levenick berkata, sebelum ini seorang wanita ditahan di pintu masuk pangkalan tentera sementara tiga anaknya memanjat kereta kebal.
"Selain itu juga, dalam kes berasingan, seorang lelaki ditahan di CFB Borden ditahan dan dia memberikan alasan dia hanya mahu mengumpul mata dalam permainan Pokemon Go dan menewaskan anak-anaknya," katanya. - AFP