AMMAN - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken memberi jaminan kepada pemimpin Jordan, Raja Abdullah bahawa Washington menolak pemindahan secara paksa ke atas warga Palestin di Gaza atau Tebing Barat.
Malah, Blinken juga berharap untuk memulakan rundingan tentang masa depan Gaza.
Menurut satu kenyataan pihak istana, Raja Abdullah membangkitkan kebimbangan Jordan tentang isu pemindahan itu semasa mesyuarat bersama Blinken, selain baginda menggesa gencatan senjata di Genting Gaza dan menamatkan krisis kemanusiaan yang berlanjutan selama tiga bulan.
Ketika ini, Israel meneruskan kempen ketenteraannya yang mengakibatkan sebahagian besar Gaza musnah dan 2.3 juta penduduknya di ambang kebuluran.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Mille berkata, dalam mesyuarat yang diadakan di Amman itu, Blinken menekankan penolakan AS memindahkan warga Palestin secara paksa dari Tebing Barat dan Gaza.
Malah, beliau memberitahu, Blinken turut memberi keutamaan terhadap kepentingan melindungi mereka di Tebing Barat daripada keganasan peneroka Israel.
Lawatan tersebut diadakan sejurus serangan dron yang membunuh ketua kanan Hamas, Saleh al-Aruri serta serangan balas Israel dan Hizbullah di sempadannya di utara yang dikongsi bersama Lubnan.Washington juga sedang mengumpulkan sekutu untuk menghalang serangan ke atas kapal di Laut Merah oleh kumpulan Houthi, yang mengawal kebanyakan kawasan di Yemen.
Blinken tiba di Jordan pada lewat Sabtu lalu dan bertemu Raja Abdullah pada Ahad, sebelum berangkat ke Qatar bagi menghadiri mesyuarat bersama Amir Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani dan Perdana Menteri Mohammed Abdulrahman al-Thani.
Pegawai kanan Jabatan AS berkata, beliau akan membincangkan usaha untuk membebaskan lebih daripada 100 tebusan yang dipercayai masih ditahan Hamas, selepas persetujuan diusahakan Qatar dibatalkan.
Difahamkan, Blinken akan menamatkan lawatannya di Emiriah Arab Bersatu (UAE). - Agensi