SEJAK Sabtu lalu, tular video mengenai seekor Harimau Putih Bengal yang ditempatkan di sebuah zoo di negara ini yang didakwa kelihatan kurus dan kelaparan.
Merak Jalanan tidak mahu mengulas mengenai keadaan harimau itu apatah lagi selepas pihak pengurusan menjelaskan haiwan tersebut kurus akibat masalah kesihatan pada tulang punggung dan belakang selain rahang, dan bukannya akibat tidak cukup makan.
Namun begitu, Merak Jalanan nak sentuh mengenai keadaan haiwan di zoo-zoo negara ini secara keseluruhan tidak kira milik swasta mahupun kerajaan.
Daripada pemerhatian Merak Jalanan ketika berkunjung ke zoo-zoo di negara ini, boleh dikatakan binatang di situ kebanyakannya kurus terutamanya haiwan karnivor seperti harimau dan singa.
Mungkin kos daging yang mahal menyebabkan haiwan pemangsa ini tidak dapat diberi makan dalam kuantiti yang banyak dan kerap.
Namun yang menghairankan Merak Jalanan, tiket nak masuk ke zoo sekarang bukannya murah terutamanya zoo milik swasta.
Kalau dahulu masa Merak Jalanan masih bergelar pelajar sekolah, tiket masuk ke zoo rata-ratanya di bawah RM10.
Namun kini, tiket kemasukan ke zoo semuanya berharga RM30 ke atas.
Tak akan dengan tiket masuk yang mahal ini masih tidak mampu menampung kos makanan harimau dan singa ini.
Jangan fikir untung semata-mata, fikirkan juga kebajikan haiwan dibela.
Kalau hasil tiket masih tak mencukupi untuk menampung kos operasi, pihak pengurusan boleh mencari penaja bagi haiwan-haiwan yang ditempatkan di zoo.
Sumbangan penaja tentunya dapat mengurangkan kos pembelian makanan haiwan serba sedikit.
Jika masih tak mampu nak bela, lepaskan semula haiwan-haiwan ini di hutan. Sekurang-kurangnya haiwan ini boleh berusaha mencari makanan sendiri dan tidak kelaparan.