Harimau Malaya ikat Syria 2-2

Iklan
Arif Aiman (dua dari kanan) menjaringkan gol pertama Harimau Malaya. Foto FB FAM

PERSIAPAN Harimau Malaya untuk menghadapi saingan Piala Asia berada pada landasan terbaik selepas mengikat pasukan di ranking ke-91 dunia, Syria 2-2 dalam aksi persahabatan pada awal pagi Selasa.

Perlawanan yang diadakan secara tertutup di Stadium Grand Hamad, Doha, Qatar itu menyaksikan skuad negara mendahului menerusi jaringan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-39.

Iklan
Iklan

Syria terpaksa menunggu sehingga minit ke-70 untuk menyamakan kedudukan melalui Pablo Sabbag sebelum Ibrahim Hesar meletakkan pasukan itu di hadapan empat minit kemudian.

Harimau Malaya yang berada di ranking ke-130 dunia berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Paulo Josue pada minit ke-78 untuk mengikat perlawanan.

Iklan

Perlawanan menentang Syria itu merupakan satu-satunya aksi pemanas badan skuad kendalian Kim Pan-gon sebelum bermulanya aksi Piala Asia.

Skuad negara yang berada dalam Kumpulan E akan membuka tirai saingan kejohanan bola sepak terbesar Asia itu menentang Jordan pada 16 Januari.

Iklan

Mereka kemudiannya akan bertemu Bahrain pada 20 Januari sebelum menentang Korea Selatan untuk aksi terakhir kumpulan lima hari kemudian.