Pekerja ladang dikhuatiri lemas, jatuh parit ketika redah banjir

Iklan
Lokasi mangsa terjatuh ke dalam parit ketika meredah jalan dinaiki air di Ladang Sungai Bebar pada Isnin.

PEKAN - Seorang pekerja ladang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam parit ketika meredah jalan dinaiki air dengan menunggang motosikal di Ladang Sungai Bebar di sini pada Isnin.

Kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Adhwa Haslan, 31, bersama rakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di ladang YP Pekan Timur ke perumahan ladang Sungai Bebar Utara di sini.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, ketika tiba di lokasi mereka mendapati air parit telah melimpah ke atas jalan sedalam kira-kira 0.33 meter.

Menurutnya, ketika meredah air di atas jalan tersebut, motosikal jenis Yamaha Lagenda 110 ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh ke dalam parit itu sebelum dihanyutkan arus deras.

Iklan

"Kejadian disedari rakannya manakala seorang pengawal keselamatan yang kebetulan berada di lokasi itu bertindak terjun untuk menyelamat, namun gagal apabila mangsa tenggelam dihanyutkan arus deras.

"Rakan mangsa kemudiannya menghubungi pengurus ladang untuk mendapatkan bantuan mencari mangsa," katanya.

Anggota bomba dari BBP Nenasi menggerakkan operasi SAR selepas menerima laporan berhubung kejadian mangsa dikhuatiri lemas terjatuh ke dalam parit di Ladang Sungai Bebar pada Isnin.

Iklan

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 5.24 petang.

Menurutnya, susulan maklumat diterima, 10 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Operasi turut dibantu empat anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) BBP Pekan.

"Operasi SAR dimulakan melalui pencarian dan pemantauan di sekitar kawasan mangsa dilaporkan terjatuh, manakala anggota PPDA melakukan pencarian di permukaan air," katanya.

Zulfadli berkata, operasi SAR yang ditangguhkan pada Isnin akan disambung pada Selasa.