JOHOR BAHRU - Premis dandan dan urut warga asing di tujuh lokasi sekitar sini yang mampu mengaut RM4.2 juta sebulan digempur pada Ahad.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi bermula jam 3.20 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Taktikal Khas (Pastak) dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan Bahagian Penguat kuasa JIM Negeri Johor.
Menurutnya, seramai 68 orang berusia 19 hingga 51 tahun termasuk 28 lelaki diberkas.
"Mereka ini terdiri daripada daripada 34 warga Myanmar, Vietnam (17), Indonesia (14), Filipina (1), Pakistan (1) serta seorang warga tempatan.
"Seorang lelaki tempatan dan wanita Vietnam ini disyaki berperanan sebagai penjaga premis," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, semakan awal mendapati warga asing ini menggunakan kemudahan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dimiliki untuk bekerja dengan majikan atau syarikat yang lain di negara ini selain turut terdapat antara mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah.
Katanya, Op Gegar dan Op Dandan ini telah merampas pelbagai barang antaranya kunci premis, tuala (19), pasport Vietnam (6), wang tunai RM844 serta tujuh set peralatan mengurut.
Jelasnya, premis-premis ini dipercayai telah beroperasi lebih satu tahun dan mampu menjana pendapatan sebanyak sekitar RM140,000 sehari dan boleh mencecah RM4.2 juta sebulan.
"Warga asing yang bekerja di premis-premis ini telah dibayar gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan oleh majikan," ujarnya.
Tambah Ruslin, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 selain sebanyak 13 notis hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu-individu dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan.
"Jabatan ini tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.
"Tindakan pendakwaan akan dikenakan terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah," ujarnya.