KEJAYAAN mengikat pasukan di ranking ke-91 dunia, Syria 2-2 dalam aksi persahabatan di Stadium Grand Hamad, Doha, Qatar pada awal pagi Selasa membuktikan Harimau Malaya mampu bersaing pada Piala Asia nanti.
Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, keputusan itu juga memberikan permulaan yang baik buat pasukan negara selain menghadirkan keyakinan tinggi kepada pemain sebelum aksi pertama Kumpulan E bertemu Jordan pada 16 Januari ini.
"Permulaan yang baik apabila mampu bersaing dengan pasukan di ranking ke-91 dunia. Saya sangat gembira dengan persembahan pemain terutama pada separuh masa pertama.
"Hari ini saya memberikan semua pemain minit permainan dan menukar ramai pemain pada separuh masa kedua. Saya rasa tidak mudah pada separuh masa kedua kerana selepas 65 minit kami menggantikan semua pemain.
"Tetapi, saya gembira kerana kami berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk seri 2-2. Pada penghujung aksi juga kami mendominasi perlawanan," katanya menerusi video yang dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dalam perlawanan yang dilangsungkan secara tertutup itu menyaksikan skuad negara terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-39.
Keputusan Pan-gon menukar ramai pemain pada separuh masa kedua memberikan kesan apabila Syria menyamakan kedudukan melalui Pablo Sabbag pada minit ke-70 sebelum Ibrahim Hesar meletakkan pasukan itu di hadapan empat minit kemudian.
Bagaimanapun, Harimau Malaya yang berada di ranking ke-130 dunia kembali mendominasi perlawanan dan berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan tonggak naturalisasi negara, Paulo Josue pada minit ke-78 untuk mengikat perlawanan.
Pan-gon berkata, perlawanan tersebut juga memberikan gambaran jelas mengenai kemampuan skuad negara sebelum aksi sebenar Piala Asia bermula.
"Saya rasa pemain dapat lebih banyak keyakinan pada hari ini sebelum bermain menentang Jordan. Saya juga yakin kami mampu bersaing dalam perlawanan itu nanti (lawan Jordan)," katanya.
Selepas aksi bertemu Jordan, skuad negara dijadualkan bertemu Bahrain pada 20 Januari dan Korea Selatan lima hari selepas itu.