Rafizi nafi pembangunan PADU libat syarikat, individu luar

Iklan
Rafizi

PUTRAJAYA - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menafikan penglibatan Ketua Pegawai Eksekutif Accio Technologies, Dr Cher Han Lau di dalam proses pembangunan sistem Pengkalan Data Utama (PADU).

"Saya mengambil maklum siaran sosial media oleh stesen radio BFM89.9 mengenai Han Lau, yang mendakwa bahawa syarikat beliau terlibat dengan proses pembangunan PADU," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, semakan dengan pasukan di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati dakwaaan Han Lau itu tidak benar.

"Pasukan analitik PADU menjemput Han Lau hanya dalam kapasiti peningkatan kemahiran sumber manusia (upskilling) di dalam sains data berdasarkan keupayaan beliau dalam pembangunan data raya dan 'machine learning'," jelas Rafizi.

Iklan

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Nor Azmie Diron memaklumkan PADU dibangunkan secara dalaman oleh kementerian itu, DOSM dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) tanpa membabitkan perunding luar.

Langkah itu membina kepakaran dan keupayaan penjawat awam selain pada masa yang sama bertujuan untuk memastikan keselamatan data terjamin.

Iklan

PADU yang dilancarkan pada 2 Januari lalu merupakan satu pangkalan data sosioekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan semua data dari jabatan dan agensi kerajaan untuk memberi gambaran seadilnya kedudukan sosio-ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.

Kewujudan PADU membolehkan kerajaan beralih dari pendekatan B40-M40-T20 dalam menilai kelayakan penerima bantuan kepada pendekatan yang lebih bersasar dan adil untuk mengelakkan keciciran, mereka yang tidak patut dapat menerima bantuan.