LABUAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Labuan mematahkan satu cubaan menyeludup masuk pelbagai minuman keras dengan anggaran nilai sebelum cukai berjumlah RM616,000 di Dermaga Liberty Labuan di sini hari ini.
Menurut seorang jurucakap kastam, barangan yang dirampas daripada tujuh kontena itu diisytiharkan sebagai peralatan pengeluaran minyak bukannya minuman keras.
Iklan
Iklan
Jurucakap itu juga berkata, jumlah rampasan belum dimuktamadkan kerana anggaran dibuat berdasarkan kapasiti setiap kontena 20 kaki itu dan menambah semua barangan yang disita itu sudah dipindahkan keluar daripada Dermaga Liberty Labuan.
"Minuman keras itu dipercayai diimport dari Singapura telah dihantar ke unit penguatkuasaan di Kiamsam hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, agensi itu sedang memburu mereka yang bertanggungjawab kerana menyeludup dan minuman kontraban itu dipercayai untuk pasaran tempatan. - Bernama