KOTA TINGGI - Makan tengah hari yang tiba lewat di Pusat Penempatan Sementara (PPS), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tajul, pada Isnin, menyebabkan 224 mangsa banjir daripada 67 keluarga yang berlindung di situ terpaksa menahan lapar lebih enam jam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh berkata, makanan siap dimasak dihantar selepas pihaknya meminta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyegerakan penghantaran makanan ke PPS berkenaan.
Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, menjelaskan makanan tengah hari tiba di PPS itu pada jam 6 petang.
"Saya dimaklumkan di PPS ini terdapat kelewatan penghantaran makanan. Jadi, saya minta Pegawai JKM menghubungi pembekal makanan dan hantar dengan segera
"Alhamdulillah pembekal makanan menghantar 280 pek makanan pada jam 6 petang. Saya harap perkara sebegini tidak berulang kerana ramai anak-anak kecil serta warga emas berlapar akibat sifat acuh tak acuh pembekal makanan," katanya dalam muat naik di Facebooknya pada Selasa.
Setakat pagi Selasa, Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa banjir yang tinggi dengan trend meningkat, seramai 4,707 orang membabitkan 1,289 keluarga ditempatkan di 26 PPS.