Doa termakbul dapat beribadat dengan baik di Tanah Suci

Iklan
Peserta program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0  anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd (Andalusia) menuju ke Masjid Nabawi, Madinah sebelum ke Raudhah untuk menunaikan solat sunat. Foto SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

MAKKAH - Doa seorang ibu tunggal yang patah kaki dalam satu kemalangan jalan raya dua tahun lalu untuk menjalankan ibadah umrah dengan baik dimakbulkan ALLAH.

Menurut Nooridah Mohd Nor, selepas terjatuh dari motosikal dan patah kaki, dia mengalami kesukaran untuk solat seperti biasa dan terpaksa duduk.

Iklan
Iklan

"Masa saya Tawaf di Kaabah, mula-mula kaki saya terlalu sakit dan tidak boleh lagi teruskan tetapi saya berdoa kepada ALLAH untuk izinkan supaya saya dapat meneruskan ibadat.

Nooridah Mohd Nor

"Baru-baru ini saya rasa sengal dan sejuk dan sakit kaki, tetapi dengan izin ALLAH saya dipermudahkan dan diberikan kesembuhan,” katanya.

Iklan

Nooridah merupakan seorang daripada 114 asnaf yang ditaja oleh Andalusia menerusi program tanggungjawab korporat syarikat itu bertujuan memberikan peluang kepada golongan tersebut untuk menunaikan ibadah umrah buat pertama kali.

Program tersebut membabitkan 77 asnaf dari Negeri Sembilan, tujuh asnaf Sabah, 15 asnaf Kelantan, 10 asnaf dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dua Melaka dan empat dari Rembau.

Iklan

Dia yang juga bekas tukang masak dan pernah berniaga nasi lemak untuk menampung kehidupan berkata, rezeki dapat menunaikan umrah mungkin kerana berkat kesabaran dan pengorbanan membesarkan anak-anak seorang diri.

"Saya bangga dapat jadi tetamu ALLAH, anak saya kata kesabaran ibu ada hikmahnya, kesabaran membesarkan anak, tanpa suami, jual nasi lemak, lepas itu kaki patah sampai saya tak dapat tampung persekolahan anak saya.

"Jadi macam-macam yang saya hadapi, sampai anak nak sambung sekolah tak dapat, tetapi hari ini saya amat berbesar hati kerana diberikan peluang seperti ini,” katanya.

Ceritanya lagi, dia sering ditanya rakan-rakan sama ada sudah mengerjakan umrah atau belum, namun sering mengatakan mungkin akan datang ke Tanah Suci satu hari nanti.

"Dan saya amat-amat tidak menyangka seminggu selepas itu saya menerima tawaran daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk datang ke sini dengan tajaan Andalusia,” ujarnya.