KEDA terima peruntukan RM83.216 juta

Iklan
Jamil Khir (dua dari kiri) menyantuni usahawan KEDA semasa pelancaran jualan kasih KEDA di Kompleks KEDA pada Selasa.

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menerima peruntukan sebanyak RM83.216 juta daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi tahun 2024.

Pengerusi KEDA, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, peruntukan tersebut meliputi RM 50.716 juta untuk bajet pembangunan manakala selebihnya adalah bagi peruntukan bajet pengurusan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bajet pembangunan yang diterima itu merangkumi 11 projek prasarana berjumlah RM30.5 juta, enam projek ekonomi dan pertanian berjumlah RM8.45 juta, modal insan sebanyak RM8.875 juta melibatkan lima projek dan projek usahawan RM2.85 juta untuk tiga projek.

"Saya menyeru warga kerja KEDA untuk terus komited dalam memperkasa masyarakat desa.

Iklan

"Sejak 43 tahun KEDA beroperasi, lembaga ini telah menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.311 bilion,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanat tahun baharu 2024 di Kompleks KEDA di sini pada Selasa.

Jamil Khir berkata, KEDA memainkan peranan besar membantu mempercepatkan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat dan infrastruktur di Kedah, terutamanya kawasan luar bandar.

Iklan

Jelasnya, menerusi pembangunan penempatan untuk rakyat termiskin, bantuan ekonomi untuk aktiviti perniagaan kecil, pertanian dan penternakan, KEDA mewujudkan lebih ramai usahawan serta memberi pendidikan kemahiran kepada penduduk kampung.

Sementara itu, dalam amanat kepada 250 kakitangan KEDA pula, beliau berkata, aspirasi Desa Madani ini perlu direalisasikan berdasarkan empat teras mengikut akronim KKDW itu sendiri iaitu (K) Kemahiran dan Pengetahuan, (K) Keberkesanan dan Kecekapan, (D) Data dan Digital serta (W) Wow Faktor.

"Sebagai sebuah agensi dibawah KKDW, saya yakin penghayatan akronim KKDW yang diilhamkan YAB Timbalan Perdana Menteri ini boleh diselaraskan bersama Pelan Strategik KEDA.

"Warga kerja KEDA perlu mempersiapkan diri dengan segala kekuatan mental mahupun fizikal bagi mendepani tahun 2024 yang lebih mencabar ini", kata beliau.

Pelan Strategik KEDA 2021-2025 menekan 5 fokus yang meliputi pembangunan infrastruktur dan kemudahan luar bandar yang lengkap dan berkualiti, membangunkan modal insan luar bandar yang cemerlang secara holistik, memantapkan pertumbuhan ekonomi penduduk luar bandar, memperkasa usahawan KEDA luar bandar serta memantapkan keupayaan kapasiti organisasi.