JURULATIH Arsenal, Mikel Arteta memberi jaminan pemain tengah Switzerland, Granit Xhaka akan terus kekal bersama skuad The Gunners.
Xhaka dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Jerman, Hertha Berlin, namun Arteta berkata, pemain berusia 27 tahun itu telah memberi isyarat bahawa akan kekal bersama Arsenal.
"Ya, dia akan kekal bersama Arsenal. Saya berasakan dia akan terus bersama kami. Saya benar-benar berminat dengan kemampuannya. Jika dia terus bersama Arsenal, dia mampu menjadi pemain yang penting kepada pasukan," kata Arteta.
Sebelum ini, Xhaka dikecam hebat selepas berang dengan tindakan penyokong yang mengejeknya selepas dikeluarkan ketika Arsenal seri 2-2 dengan Crystal Palace pada Oktober lalu.
Namun, Xhaka memulakan tahun 2020 dengan menampilkan persembahan terpuji selepas berjaya membantu Arsenal menewaskan Manchester United 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates awal pagi tadi.
Tanpa berselindung, Arteta turut memuji aksi bertenaga Xhaka ketika menentang United. Pada masa sama, beliau mengakui kebanyakan pemainnya masih belum mencapai tahap kecergasan yang diharapkan.
"Kami telah cuba lakukan segalanya untuk pastikan mereka dapat beraksi dengan baik. Pada masa ini kami tidak bersedia untuk mengekalkan tahap intensiti sepanjang 90 minit.
"Namun, semangat, komitmen dan keinginan yang ditunjukkan oleh para pemain pada masa ini sangat hebat," katanya yang mengambil alih tugas Unai Emery bulan lalu.