KUALA LUMPUR - Orang ramai boleh menggunakan sistem pembayaran terbuka bagi rangkaian perkhidmatan di bawah Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), yang merangkumi penggunaan di tren Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) bermula tahun hadapan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelaksanaan itu mengambil sedikit masa kerana banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum ia dapat dilaksanakan.
"Mengapa ia mengambil masa kerana pembekal sistem itu, iaitu kontraktor yang boleh mengendalikan sistem ini mendapati ia agak rumit (untuk dilaksanakan), sebab setiap stesen mempunyai sistem sendiri, dan ia perlu diubah suai, jadi bukannya mudah hendak laksanakan dalam masa satu atau dua bulan, ia mengambil masa setahun untuk semua stesen itu ditambah baik (sistemnya)," katanya ketika sesi pembentangan laporan prestasi Prasarana 2023 dan pelan 2024 di Menara UOA di sini pada Selasa.
Tambahnya, buat masa ini Prasarana mengendalikan 140 stesen merangkumi laluan LRT, MRT dan Monorel.
"Jadi semua stesen itu perlu diintegrasikan sebelum ia dapat dilaksanakan, bagaimanapun saya sudah dapat kepastian dan komitmen mereka (Prasarana) tahun ini akan memulakan proses dan harap dapat dilancarkan pada tahun hadapan," katanya.
Dalam pada itu menyentuh mengenai pembukaan semula perkhidmatan LRT laluan Ampang/Sri Petaling setelah lama ia ditutup beliau berkata, laluan itu akan dibuka menjelang akhir Februari ini.
"Ia akan beroperasi semula pada akhir Februari 2024 selepas kerja-kerja pembaikan menyeluruh struktur jejambat dan landasan berhampiran stesen LRT Bandaraya siap," katanya.
Pada 27 Januari 2023, perkhidmatan LRT laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen Bandaraya selain kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan dipercayai disebabkan kerja-kerja pembinaan di kawasan bersebelahan.
Susulan itu, Rapid Rail terpaksa menutup laluan antara stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya dan penumpang LRT terpaksa menggunakan laluan alternatif termasuk bas bagi meneruskan destinasi masing-masing.