KPKM peruntuk RM50 juta bantu petani, nelayan terjejas banjir

Iklan
Mohamad (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Mohd Faizol Mustafa (dua dari kanan) pada Majlis Sentuhan Agro MADANI Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjung hari ini. Foto Bernama

KOTA BHARU - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM50 juta di bawah Tabung Bencana Pertanian untuk memberi pampasan sehingga 50 peratus daripada kerugian akibat bencana banjir kepada petani, penternak, peladang dan nelayan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, berdasarkan laporan awal yang diterima, anggaran jumlah kerugian oleh sektor agromakanan di Kelantan sahaja menjangkau lebih RM20 juta yang melibatkan 1,875 orang.

Mohamad menyampaikan barangan keperluan asas kepada golongan sasar pada Majlis Sentuhan Agro Madani Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjung hari ini. Foto Bernama

Iklan
Iklan

"Antara kawasan yang teruk terjejas adalah Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sentuhan Agro Madani Kelantan, di sini hari ini, yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Iklan

Terdahulu, Mohamad turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada lebih 200 golongan petani, peternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, inisiatif KPKM penting dalam membantu kumpulan sasar yang terkesan banjir untuk bangkit semula supaya dapat menyumbang kepada pertumbuhan sektor tanaman dan agromakanan negara.

Katanya, skop keterjaminan makanan bukan sahaja di bawah tanggungjawab KPKM semata-mata tetapi melibatkan peranan semua pihak selaras dengan konsep 'Keterjaminan Makanan Adalah Tanggungjawab Bersama'.

Mohamad beramah mesra bersama petani dan nelayan yang terjejas akibat monsun timur laut pada Majlis Sentuhan Agro Madani Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjung hari ini. Foto Bernama

Iklan

"Bagi mengukuhkan lagi keterjaminan makanan, sejumlah RM400 juta disediakan di bawah Belanjawan 2024 untuk melaksanakan pelbagai inisiatif khusus dengan fokus meningkatkan pengeluaran domestik dan kadar sara diri komoditi makanan utama.

"Daripada jumlah itu, RM150 juta diperuntukkan untuk kerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengoptimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil tanaman dan ternakan," katanya.

Beliau berkata, salah satu perancangan jangka masa panjang KPKM adalah untuk membina dan menaik taraf infrastruktur pengairan dan saliran di kawasan penanaman padi di luar jelapang yang berpotensi untuk dibangunkan tanaman tersebut sebanyak dua kali setahun, justeru kerjasama dan sokongan daripada kerajaan negeri amat diperlukan. - Bernama