KUALA SELANGOR - Struktur pintu air uzur dan bukaan yang tidak sempurna di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Parit Mahang dikenal pasti punca aliran air keluar ke sungai mengambil masa tempoh lama untuk surut.
Jurutera Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Kuala Selangor, Syaiful Mizan Zamiyan berkata, keadaan bertambah teruk apabila sebahagian tebing sungai sahaja yang mempunyai perlindungan benteng.
"Keadaan ini menyebabkan kawasan kebun kelapa sawit tersebut sering dimasuki air sungai dan menyebabkan berlakunya banjir termenung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Sehubungan itu, katanya, pelbagai usaha dilakukan pihak kerajaan termasuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh.
Beliau memberitahu, benteng sungai di keseluruhan kawasan kebun telah dibina bermula tahun 2022 dan kini sedang dalam proses menyiapkan tambahan struktur aliran air keluar ke sungai serta menaiktaraf pintu air sedia ada berhampiran kebun.
"Perkara ini telah dipanjangkan kepada pasukan pengurusan projek RTB Sungai Buloh untuk disegerakan bagi membantu pekebun yang kini mengalami masalah tersebut," jelas beliau.
Dalam pada itu, Syaiful Mizan berkata, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi projek RTB Sungai Buloh yang dijadualkan siap pada April tahun ini.
"Antara skop fizikal yang akan dilaksanakan adalah menaiktaraf benteng sungai, membina pam kekal, pengorekan sungai, struktur aliran air keluar ke sungai, kuarters operator pintu air dan pembinaan jambatan," kata beliau.
Selain itu, katanya, antara langkah yang telah diambil JPS bagi menangani masalah itu dengan melaksanakan kerja penyelenggaraan parit menggunakan jentera sekali setahun.
"Pelaksanaan ini dijadualkan antara bulan September hingga Disember di samping penyelenggaraan menebas parit kampung tiga kali setahun," ujarnya.
Sinar Harian pada 2 Januari lalu melaporkan, kira-kira 80 pekebun kecil kelapa sawit di Kampung Parit Mahang di sini terjejas teruk akibat banjir termenung yang masih belum surut sejak awal November tahun lalu.
Rata-rata pekebun mendakwa, keadaan itu menyebabkan pendapatan penduduk terjejas kerana sebahagian besar bergantung kepada kelapa sawit.