TAIPING - Kerajaan Perak beri jaminan isu harga makanan mahal seperti yang tular melibatkan sebuah premis di Teluk Nipah, Pulau Pangkor minggu lalu tidak berulang.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, langkah sewajarnya telah pun diambil pihak berkuasa termasuk melakukan pemeriksaan dan tindakan di bawah peruntukan perundangan sedia ada.
"Kerajaan negeri akan berusaha keras untuk memastikan harga makanan ini di bawah kawalan. Kita pun sudah mengarahkan pihak berkuasa menjalankan pemantauan dan serbuan sekiranya perlu.
"Semua ini kita lakukan untuk menjaga kepentingan pelancong dan sebagai jaminan tiada peniaga yang mengambil kesempatan dalam tempoh Tahun Melawat Perak (TMP) 2024," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Tourism Perak diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Nurmalis Musa dengan Pengarah Chuan Sin Sdn Bhd (CSSB), Dr Chuah Chaw Teo di Spritzer EcoPark di sini pada Selasa.
Sze Yee berkata, kes yang berlaku di pulau peranginan bebas cukai itu adalah kes terpencil dan bukannya melibatkan keseluruhan premis makanan.
Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri mengambil maklum dan memberi perhatian terhadap isu itu agar tidak dijadikan kebiasaan hingga boleh menjejaskan kedatangan pelancong.
"Pulau Pangkor sebelum ini tidak ada masalah pun, tetapi mungkin nasib tidak baik ada yang terjumpa seorang dua peniaga yang ambil jalan nak untung cepat," katanya.
Sebelum ini tular video di aplikasi Tikttok dan Facebook dikongsikan pengguna meluahkan rasa tidak puas hati dengan sebuah kedai makanan laut yang mengenakan harga RM142 untuk hidangan ikan siakap bakar, tom yam, telur dadar, udang goreng tepung dan air kosong untuk dua orang.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak yang menjalankan pemeriksaan kemudiannya mendapati, premis itu tidak meletakkan tanda harga ke atas hasil laut yang belum dimasak serta didapati tidak menggunakan alat timbangan dalam urusan penjualan.
Pemeriksaan dan perbandingan harga makanan di premis yang diadu juga didapati lebih tinggi berbanding harga makanan sama di premis lain sekitar Teluk Nipah.
Dalam perkembangan lain, Sze Yee berkata, MoU yang dimeterai itu akan melibatkan nilai pelaburan RM105 juta bagi tujuan pembungkusan eksklusif air mineral dengan mengetengahkan 11 ikon pelancongan menarik di Perak.
Katanya, ikon pelancongan terlibat adalah Kellie's Castle, Gua Tempurung, Stesen Keretapi Ipoh, Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Menara Condong Teluk intan, Pulau Giam, Pulau Pangkor, Royal Belum, Kapal Korek Tanjung Tualang, White Water Rafting Gopeng, Zoo Taiping dan Spritzer EcoPark dengan anggaran pengeluaran 7 juta karton dalam tempoh setahun.
"Pengeluaran pembungkusan eksklusif ini akan dipasarkan di seluruh negara termasuk di gerai dan kedai kecil.
"Kita sangat berbesar hati dengan sokongan diberikan CSSB kerana melalui kerjasama ini telah banyak membantu kerajaan negeri menjimatkan kos mempromosikan TMP tahun ini," katanya.