KUALA LUMPUR - Pelacuran adalah jenayah berat di sisi undang-undang Islam yang termasuk dalam kategori hudud.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pelacuran dan zina adalah perbuatan yang melibatkan hubungan seksual di luar hubungan perkahwinan.
"Zina didefinisikan oleh Al-Sarkhasi dan Ibn `Abidin dari mazhab Hanafi sebagai persetubuhan haram dengan perempuan hidup melalui vagina yang dilakukan dalam negara Islam, yang mana perempuan itu secara jelas bukanlah daripada isterinya yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan seorang pelakon terkenal tanah air dalam sebuah podcast di laman sosial berhubung cadangan membuka rumah pelacuran kepada warga asing sebagai langkah mengurangkan kes rogol dalam negara ini.
Mohd Na’im berkata, cadangan tersebut telah mengundang polemik dan kontroversi dalam masyarakat memandangkan pelacuran merupakan aktiviti yang tidak dibenarkan menurut undang-undang di Malaysia.
Jelasnya, pelacuran merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574]. Antara peruntukan berkaitan kesalahan pelacuran adalah seperti yang berikut; (i. Seksyen 372 – menyalahguna mana-mana orang bagi tujuan persundalan (exploiting any person for purposes of prostitution); Seksyen 372A – hidup daripada hasil persundalan atau perdagangan persundalan (persons living on or trading in prostitution); Seksyen 372B – mencari langganan bagi maksud persundalan (soliciting for purpose of prostitution); dan Seksyen 373 – menguruskan rumah persundalan (Suppression of brothels).
Selain itu, beliau berkata, dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] juga terdapat beberapa peruntukan yang berkaitan dengan kesalahan pelacuran, antaranya seperti yang berikut: (iii. Subseksyen 21– pelacuran; Seksyen 22 – muncikari (seseorang yang bertindak sebagai orang tengah antara seorang perempuan dengan seorang lelaki bagi apa-apa maksud yang menyalahi Hukum Syarak); dan Seksyen 23 – persetubuhan luar nikah)
"Justeru, cadangan yang diberikan adalah bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah, bahkan secara jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip ajaran Islam dan Maqasid al-Syariah.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan polemik mahupun isu yang bertentangan dengan ajaran Islam,” tegasnya
Dalam pada itu, menurut Mohd Na’im, definisi ini dilengkapkan lagi oleh Al-Zaila`i yang juga merupakan ulama’ mazhab Hanafi dengan menambahkan elemen kerelaan dan tanpa paksaan dalam definisi zina, iaitu, ‘persetubuhan haram dengan perempuan hidup (bukan mayat), yang bukan di bawah pemilikannya (hamba), atau isterinya, secara sukarela dan tanpa paksaan, yang mana ia berlaku dalam negara Islam’.
"Terdapat ulama dari mazhab Maliki, Syafi’e dan Hanbali meluaskan skop zina dengan memberikan definisi zina sebagai, ‘persetubuhan haram sama ada melalui vagina ataupun dubur oleh seorang lelaki dewasa yang siuman dengan perempuan yang bukan isterinya’.
"Bagi rogol pula diistilahkan oleh sebahagian ulama’ seperti Ibn `Abidin dari mazhab Hanafi dan al-Sharbini dari mazhab Syafi`e sebagai ‘al-zinā bi al-ikrāh’ yang bermaksud zina dengan paksaan
"Sebahagian ulama lain pula, seperti Imam Malik dan Imam al-Syafi`e menggunakan istilah ‘ightiṣāb’ yang secara langsung membawa maksud rogol,” katanya.
Jelas Mohd Na’im, umumnya kebanyakan ulama terdahulu membincangkan isu rogol di bawah jenayah zina kerana ia mempunyai perkaitan yang rapat, iaitu persetubuhan haram.
"Walau bagaimanapun, setelah meneliti definisi zina yang diberikan dalam kitab-kitab turath, beberapa ulama’ kontemporari seperti `Awdah, Al-Masha`ili, Al-Zuhayli dan Zaydan menegaskan bahawa mazhab yang empat membezakan antara jenayah zina dan rogol dengan elemen kerelaan,” katanya
Mohd Na’im berkata memilih definisi zina oleh Al-Zaila`i sebagai takrif yang terbaik kerana memasukkan elemen kerelaan yang secara jelas menunjukkan perbuatan yang dilakukan tanpa paksaan.
"Berdasarkan kedudukan ini, cadangan untuk membuka rumah pelacuran seperti yang diutarakan adalah tidak boleh diterima sama sekali dan sewajarnya ditolak oleh segenap lapisan masyarakat.
"Dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi, kaedah fikah berikut sewajarnya dijadikan panduan; Kemudaratan itu tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang lain,” katanya.