Pengoperasian lima stesen LRT3 dijangka mula 2027 - Anthony

Iklan
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika Pembentangan Laporan Prestasi 2023 dan Pelan 2024 Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) di Menara UOA Bangsar pada Selasa. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengoperasian lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang cadangan pembinaannya dibatalkan sebelum ini dijangka bermula pada 2027, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, pembinaan lima stesen baharu itu tidak akan dapat diselesaikan atau dilaksanakan menjelang tahun depan.

Iklan
Iklan

"Stesen itu belum dibina, maka ia tidak dapat disiapkan dalam tempoh setahun. Ia adalah stesen pilihan yang akan dikembalikan tetapi mengambil masa dua atau tiga tahun untuk dilaksanakan,” katanya pada sidang media pembentangan Laporan Prestasi 2023 dan Pelan 2024 Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan kerajaan akan meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 merangkumi stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik yang dibatalkan sebelum ini dengan membabitkan kos RM4.7 bilion.

Iklan

Projek pembinaan LRT3 yang bermula di Bandar Utama dan berakhir di Johan Setia, Selangor dijangka memulakan operasi pada 1 Mac 2025 dan bakal memberikan manfaat kepada dua juta penduduk. Projek pengangkutan mega itu dijangkakan menelan belanja kira-kira RM16 bilion.

Mengenai status projek LRT3, Anthony berkata, ia telah mencapai 91.68 peratus setakat 25 Dis tahun lepas dan pengoperasian LRT bagi laluan Shah Alam itu masih disasarkan bermula 1 Mac tahun depan.

Iklan

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa status bagi projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura telah mencapai tahap 65 peratus siap daripada aspek infrastruktur dan lebih 33 peratus bagi aspek sistem setakat ini.

"Sasaran ia siap sepenuhnya adalah pada 31 Disember 2026,” kata Loke.

RTS Link adalah rangkaian rel sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar, Stesen Johor Bahru dan Woodlands di Singapura dan dijangka mampu menarik 35 peratus daripada 350,000 orang yang bergerak melalui Tambak Johor setiap hari.

Mengenai perkembangan kerja pembaikan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya, Anthony berkata, ia telah siap sepenuhnya dan sedang menjalani proses percubaan yang dikendalikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum dapat kembali beroperasi pada akhir Februari ini.

Menurut beliau, kerja pembaikan itu melibatkan kos RM30 juta yang ditanggung oleh Prasarana dan memaklumkan bahawa Prasarana akan menyaman syarikat kontraktor atau pemilik projek yang menyebabkan kerosakan di stesen berkenaan.

Pada 27 Januari tahun lepas, perkhidmatan LRT laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen Bandaraya selain kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan dipercayai disebabkan kerja-kerja pembinaan di kawasan bersebelahan.

Susulan itu, Rapid Rail terpaksa menutup laluan antara stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya dan penumpang LRT terpaksa menggunakan laluan alternatif termasuk bas untuk ke destinasi masing-masing. - Bernama