Parlimen Korea lulus RUU larang makan daging anjing

Iklan
Parlimen Korea Selatan pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) khas yang mengharamkan pengambilan daging anjing di negara itu. Foto AFP

SEOUL - Parlimen Korea Selatan pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) khas yang mengharamkan pengambilan daging anjing di negara itu.

Langkah itu membuka jalan untuk menghentikan amalan penduduk yang mencetuskan kontroversi dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Iklan
Iklan

RUU itu yang melarang pembiakan, penyembelihan, pengedaran dan penjualan anjing untuk daging haiwan berkenaan, diluluskan parlimen dengan 208 undi menyokong manakala dua berkecuali, lapor Agensi Berita Yonhap.

People Power Party (PPP) yang memerintah dan parti pembangkang utama Democratic Party (DP) telah bersama-sama mendesak larangan itu seiring dengan kesedaran yang semakin meningkat mengenai hak haiwan dan peningkatan bilangan pemilik haiwan peliharaan di negara itu.

Iklan

RUU itu juga mencadangkan pemberian subsidi untuk membantu individu dalam industri daging anjing bertukar ke profesion lain.

Wanita Pertama, Kim Keon Hee juga secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap larangan itu, dengan mengatakan pengharaman itu adalah antara janji kempen Presiden Yoon Suk Yeol.

Iklan

Yoon dan Kim dikenali sebagai pencinta haiwan peliharaan serta tinggal bersama empat ekor anjing dan tiga ekor kucing.

Undang-undang itu dijadual berkuat kuasa pada 2027, selepas tempoh penangguhan selama tiga tahun.

Mereka yang tidak mematuhi undang-undang itu boleh berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga 30 juta won (AS$22,768).

Menurut statistik kerajaan, terdapat kira-kira 1,150 ladang anjing, 34 syarikat penyembelihan, 219 pengedar dan kira-kira 1,600 restoran yang menjual daging anjing sebagai hidangan di Korea Selatan. - Bernama-Yonhap