Mahkamah benar anak syarikat 1MDB soal siasat ibu Jho Low

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa membenarkan permohonan dua anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menyoal siasat ibu Low Taek Jho, atau Jho Low, berhubung barang kemas yang didakwa dibeli oleh ahli perniagaan dalam buruan itu bernilai AS$1.695 juta.

Peguam K.Siva Kumar mewakili 1MDB berkata, pada prosiding secara dalam talian di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz itu, mahkamah membenarkan permohonan 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited, yang merupakan plaintif ketiga dan keempat, untuk menyoal siasat Puan Sri Goh Gaik Ewe.

Iklan
Iklan

"Mahkamah memberi kebenaran kepada kedua-dua plaintif untuk menjalankan soal siasat terhadap defendan keenam dengan mengemukakan sembilan soalan secara bertulis manakala Gaik Ewe perlu menjawab soalan tersebut secara bertulis menerusi afidavit.

"Afidavit yang diikrarkan oleh Gaik Ewe itu akan difailkan di mahkamah dan diserahkan kepada peguam kedua-dua plaintif dalam tempoh 14 hari,” katanya ketika dihubungi.

Iklan

Beliau berkata, jika Gaik Ewe tidak menjawab soalan terbabit, beliau dihalang daripada membela diri pada prosiding kes saman, pembelaannya dibatalkan tanpa perintah lanjut dan plaintif mempunyai kebebasan untuk memohon penghakiman terhadap wanita itu.

Notis permohonan interogatori yang difailkan kedua-dua anak syarikat 1MDB pada 27 Oktober tahun lepas antara lain memohon Gaik Ewe menjawab soalan jenis barang kemas yang dibeli oleh Jho Low serta bila dan di mana ia diberikan kepada wanita itu.

Iklan

Permohonan itu dibuat bagi menuntut barang kemas yang dibeli dengan kos US$1.695 juta menggunakan dana yang boleh dikesan oleh kedua-dua anak syarikat dan memandangkan dokumen mengenai kos tersebut tidak dinyatakan maka interogatori adalah relevan bagi memastikan kewujudkan barangan terbabit.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap Jho Low, ibu dan bapanya, kakak dan adik lelaki Jho Low iaitu May Lin dan Taek Szen serta rakan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

1MDB menuntut US$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing US$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan US$1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta US$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya manakala 1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta US$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta daripada May Lin dan Jho Low serta AS$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain AS$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen. - Bernama