Mydin perkenal aplikasi khas April ini, mudahkan semak harga promosi

Iklan
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin. Foto fail Bernama

PEMBORONG dan peruncitan halal terbesar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) akan memperkenalkan aplikasi mudah alih khas buat lebih 20 rakan eksklusifnya, termasuk pengamal media untuk menikmati diskaun istimewa yang ditawarkan, bermula April ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, aplikasi itu akan memaparkan maklumat mengenai promosi serta harga barangan yang ditawarkan bagi membantu pengguna merancang perbelanjaan di premisnya.

Iklan
Iklan

"... sekarang ini ia agak sukar, sebab hanya guna kad fizikal, pengguna tidak tahu apa barangan yang ada promosi atau tidak.

"Jadi, kita cuba buat satu cara seperti mana kita buat untuk Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan memudahkan lagi rakan eksklusif mengetahui barangan yang kita tawarkan pada harga promosi,” katanya ketika dihubungi Bernama, pada Selasa.

Iklan

Antara rakan eksklusif Mydin adalah pemegang Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan Malaysia.

Inisiatif kepada media ini dimulakan sejak 23 September lepas, bagi menghargai komitmen dan penghargaan dalam menyalurkan maklumat tepat serta komprehensif kepada masyarakat.

Iklan

Ameer berkata, setiap minggu Mydin akan menawarkan pelbagai promosi barangan berbeza kepada petugas media dan rakan eksklusifnya bagi membantu meringankan kos perbelanjaan harian.

"Contohnya, bagi tempoh 8 hingga 14 Jan, kita buat promosi sepaket mi kuning berharga RM1 buat pemegang kad berbanding harga asal RM1.75. Tapi, setiap barangan ini akan sentiasa bertukar ganti dan terhad.

"Kita juga beri diskaun sehingga 20 peratus kepada barangan kategori bukan makanan yang terpilih, contohnya, harga sepasang baju kurung RM79.00, namun pemegang kad boleh mendapatkannya pada harga RM70. Bagaimanapun diskaun untuk barangan makanan tertentu seperti barangan basah tidak boleh diberikan memandangkan margin yang diperoleh juga adalah rendah,” katanya. - Bernama