PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola memuji sikap anak-anak buahnya atas kemenangan ke atas Everton sambil berkata pasukan lain mungkin 'menamatkan saingan di tempat ketujuh atau kelapan' jika mereka jauh ketinggalan di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dua gol sumbangan Gabriel Jesus membantu City meraih kemenangan 2-1 di Stadium Etihad pada aksi pagi tadi itu menyaksikan The Citizens kini ketinggalan 11 mata di belakang Liverpool yang memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan.
Guardiola jelas berpuas hati dengan pendekatan yang dipamerkan pasukannya ketika mereka terus berusaha untuk mengejar Liverpool di sebalik jurang yang besar.
"Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan. Kami juga menampilkan permainan terbaik seperti selalu. Ketinggalan jauh buat kali pertama sejak menjadi juara untuk dua musim.
"Pasukan lain mungkin sudah berputus asa dalam situasi ini dan mungkin menamatkan saingan di tempat ketujuh atau kelapan," katanya.
Guardiola menggunakan formasi 3-4-3 ketika berdepan Everton dengan menurunkan Eric Garcia, Fernandinho dan Rodri sebagai pemain pertahanan manakala Benjamin Mendy dan Joao Cancelo turun sebagai bek sayap.
Bekas pengendali Barcelona itu yang berpuas hati dengan sistem baharu yang digunakan berkata, ia mungkin akan digunakan dengan lebih kerap selepas ini.
"Mungkin kami akan menggunakannya lagi. Dalam separuh masa pertama berdepan Sheffield United, kami menurunkan tiga pertahanan. Kami boleh mengambil pendekatan yang sama untuk aksi akan datang," katanya.
City akan kembali beraksi apabila menerima kunjungan Port Vale dalam aksi pusingan ketiga Piala FA Sabtu ini.