GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea dikejutkan kekalahan 0-1 kepada kelab Liga Kejuaraan, Middlesbrough pada perlawanan pertama separuh akhir Piala Liga di Stadium Riverside pada Rabu.
Jaringan minit ke-37 oleh bintang muda berusia 21 tahun, Hayden Hackney yang menyudahkan hantaran Isaiah Jones, membolehkan The Boro menceriakan penyokong-penyokong di laman sendiri ketika Cole Palmer mempersiakan dua peluang untuk gergasi London itu.
Kejayaan Middlesbrough bertahan selepas itu, biarpun Chelsea bangkit mendominasi menyaksikan pasukan seliaan Mauricio Pochettino perlu melakukan lebih banyak kerja rumah menjelang timbal balik kedua di Stadium Stamford Bridge pada 24 Januari depan.
Pemain-pemain Chelsea diejek beberapa penyokong The Blues selepas perlawanan dengan Thiago Silva bertindak sebagai pendamai yakin dapat menebus defisit satu gol di London.
Musim pertama Chelsea yang gugup di bawah Pochettino juga berlanjutan di Riverside selepas angkatan pelawat tidak dapat menewaskan Boro asuhan Michael Carrick yang dilanda kecederaan.
Chelsea melakukan 18 percubaan gol, majoriti pada separuh masa pertama, tetapi sekali lagi The Blues kurang kualiti di depan gol selain rapuh di bahagian pertahanan.
"Kami melakukan beberapa kesilapan pada separuh masa pertama apabila memberi mereka peluang untuk menjaringkan gol.
"Selepas itu mereka agresif dan bermain dengan blok yang dalam dan sukar untuk kami memecahkan bahagian pertahanan mereka. Tetapi kami mempunyai 90 minit lagi dan kami perlu bersikap positif untuk ke Wembley.
"Ya, terdapat banyak perlawanan yang kami belum menang kerana kami tidak cukup klinikal,” kata Pochettino selepas kekalahan kesembilan Chelsea dalam semua kejuaraan musim ini.
Sementara itu, Carrick berkata,"Saya tahu ia adalah perlawanan timbal balik, tetapi dengan semua yang kami terpaksa lalui berdepan kecederaan untuk menewaskan pasukan dengan kualiti Chelsea adalah sukar dipercayai dan satu usaha yang luar biasa."