JEMPOL - Dua beranak mengalami kecederaan apabila motosikal dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang selepas dikejar anjing liar di Taman Desa Puteri, Bahau pada Selasa.
Kejadian jam 10.45 pagi itu berlaku semasa Saari Mohamad Nordin, 62, dan Mohamad Halis Azuan Saari, 22, dalam perjalanan ke tempat kerja sambil membawa besi tiang pagar.
Saari yang merupakan tukang rumah berkata, pada awalnya seekor anjing liar menyalak sebelum muncul empat ekor lagi anjing mengejar motosikal dinaiki mereka.
"Tidak sangka pula anjing itu kejar kami, dalam keadaan kelam-kabut nak mengelak anjing motosikal yang saya tunggang terbabas pula masuk ke dalam longkang berhampiran
"Akibat kejadian itu, saya cedera di lengan kanan dan kaki, manakala anak pula terjatuh di atas jalan dan cedera pada bahagian muka apabila ditimpa besi tiang pagar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Saari berkata, dia dan anaknya kemudian mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bahau selain mahu pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya sebelum berlaku kejadian lebih buruk.
Ujarnya, kejadian seumpama itu bukannya pertama kali berlaku kepada penduduk di taman itu sebaliknya sudah acap kali.
"Dua bulan lepas anak perempuan saya dikejar anjing liar ketika menunggang motosikal. Dia dalam perjalanan membuat penghantaran barang jualannya bersama anak lelakinya yang berusia enam tahun.
"Berikutan itu, anak saya terpaksa dirawat di wad Hospital Jempol selepas cedera akibat terjatuh motosikal, manakala anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL), Raja Norazli Raja Nordin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dalaman berhubung kes gigitan anjing di Taman Desa Puteri itu dan daripada maklumat yang diterima anjing tersebut merupakan anjing liar dan tidak bertuan yang berkeliaran di kawasan tersebut.
"Kes itu juga akan dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Jempol untuk tindakan selanjutnya. MPJL sebelum ini sudah menerima empat aduan berkenaan anjing terbiar di lokasi berkenaan.
"Sebanyak empat operasi menangkap anjing liar sudah dijalankan dengan operasi terakhir pada 9 Oktober tahun lalu dan sepanjang operasi itu sebanyak 13 ekor anjing terbiar berjaya ditangkap," katanya.