NARATHIWAT - Seorang warga emas di sini tidak dapat menahan sedih selepas melihat rumahnya dihanyutkan arus deras bah merah yang melanda wilayah Selatan Thailand pada 25 Disember lalu.
Kamalo Che Nawe, 72, dari Kampung Kian, Daerah Sukhirin di sini berkata, sepanjang hidupnya inilah kali pertama dia melihat keadaan banjir yang paling buruk pernah berlaku di kawasan tersebut.
Menurutnya, air yang naik terlalu cepat serta deras itu menyebabkan dia serta suami, Rojak Sin, 60, hilang tempat tinggal sekelip mata.
Jelas ibu kepada tujuh orang anak itu, kejadian yang berlaku terlalu pantas sehinggakan dia dan suami tidak sempat berbuat apa-apa.
"Alhamdulillah umur kami masih panjang. Masa kejadian saya dan suami berada di rumah anak.
"Apabila mendapat tahu kawasan rumah dilanda banjir, kami pulang untuk menyelamatkan harta benda tetapi semuanya hanyut dibawa arus," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian semasa Misi Bantuan Banjir anjuran Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar), Kumpulan Karangkraf (Karangkraf) dan Sinar Harian.
Misi tersebut diketuai oleh Penasihat MySinar merangkap Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Kamalo berkata, dia dan suami kini terpaksa tinggal di dalam bangsal yang dibina bersebelahan dengan bekas tapak rumah dihanyutkan.
Bencana terburuk sepanjang 47 tahun
Imam Masjid Al-Munawarah, Daerah Sukhirin, Ilyas Wasin memberitahu, banjir yang digelar 'air merah' itu bukan sahaja telah merosakkan banyak harta benda penduduk tetapi masjid yang telah dibina tinggi turut sama terjejas.
"Sepanjang umur 47 tahun, inilah pertama kali saya melihat banjir yang sangat buruk.
"Lebih menyedihkan lagi apabila boleh dikatakan semua al-Quran yang ada di dalam masjid rosak akibat ditenggelami air.
"Sejadah boleh dicuci tetapi berbeza dengan kitab suci itu, di mana kami perlu mendapatkan yang baharu," katanya.
Menurutnya, banjir lebih dua meter itu hampir menenggelamkan keseluruhan rumah ibadat tersebut.
Tambah Ilyas, beliau serta ahli jawatankuasa masjid tidak pernah terfikir banjir seteruk itu akan berlaku kerana sebelum ini jika musim tengkujuh air hanya akan melimpah sehingga di luar kawasan masjid sahaja.
31 masjid terkesan
Banjir tersebut bukan sahaja menenggelamkan rumah penduduk tetapi 31 masjid di tiga daerah iaitu Rueso, Si Sakhon dan Sukhirin turut sama terjejas teruk.
Ketua Persatuan Imam Daerah Rueso, Abdul Malik Omar berkata, paling menyedihkan apabila al-Quran yang sering digunakan oleh jemaah rosak teruk ditenggelami lumpur.
"Itu belum lagi melibatkan kemudahan yang ada di masjid turut sama rosak akibat banjir.
"Selepas dua minggu kejadian menyayat hati itu berlaku, boleh dikatakan kesemua masjid yang terjejas teruk telah dibersihkan," katanya.
Beliau memberitahu, walaupun kelengkapan yang ada tidak dapat diselamatkan namun kesemua masjid terlibat masih gah dan boleh digunakan untuk beribadat seperti seperti biasa.
Runtun jiwa
Keperitan serta keluhan mangsa banjir di Narathiwat meruntun jiwa Muhammad Nasir sehingga membawa beliau serta rombongan ke negara gajah putih ini.
Menurut beliau, lebih memilukan apabila melihat depan mata al-Quran rosak, dipenuhi lumpur serta tidak lagi dapat digunakan.
"Berpandukan kepada kesan banjir ini saya dapat rasakan beban penderitaan yang dihadapi oleh penduduk sangat perit.
"Ada penduduk yang hilang rumah, rosak dan sebagainya memberikan keinsafan dan kesedaran kepada kita semua," katanya.
Menurut Muhammad Nasir, pada masa sama pihaknya telah mengumpul dan menyerahkan 500 naskah al-Quran kepada masjid yang terkesan dengan banjir.
Beliau berharap rakyat Malaysia dapat terus membantu umat Islam di negara ini yang terjejas teruk dengan banjir tersebut.
Orang ramai yang ingin bersama MySinar boleh menyalurkan sumbangan ke atas nama Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia di akaun Maybank 562218233147.