[VIDEO] PMX kena dedahkan isu RM500 juta, RM750 juta - Ahmad Fadhli

Iklan

SHAH ALAM - Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan derma RM500 juta dan RM750 juta sebaik sahaja pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menimbulkan persoalan.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan itu dilihat meragukan dan seolah terkejar-kejar mendahului Istana Negara.

Iklan
Iklan

Malah katanya, ia seakan tidak menghormati kedudukan utama Seri Paduka dan pihak Istana Negara dalam mengeluarkan sesebuah kenyataan rasmi.

Ahmad Fadhli

"PMX (Anwar) menulis tentang derma RM500 juta dan RM750 juta, Istana Negara tidak menulis berkaitan sumbangan derma. Siapakah yang mahu menderma itu?

Iklan

"Adakah PMX mahu memberitahu 'dengan halus' kepada Tuanku agar tidak menerima apa-apa sumbangan tetapi dilontar ke khalayak? Atau itu sebenarnya 'amaran' dari PMX?

"Kenapa ditulis nilai RM500 juta dan RM750 juta? Ertinya ada maklumat khusus. Jika ada maklumat khusus, mohon PMX dedahkan sahaja, janganlah jadi macam isu dana judi yang dilumurkan kepada Perikatan Nasional (PN), selepas setahun masih belum dibuktikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan
Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Anwar dan Istana Negara sebaik pertemuan yang diadakan semalam. Foto Facebook Ahmad Fadhli Shaari

Anwar pada Selasa, mengeluarkan kenyataan sebaik sahaja mengadakan pertemuan dengan Al-Sultan Abdullah bagi menyembah maklum urusan kertas-kertas Kabinet dan turut mengulas beberapa perkembangan semasa.

Dalam kenyataan itu, Anwar memaklumkan Seri Paduka bertitah bahawa pihak istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik dan menambah, seandainya ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah disalurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara.

Tambah Ahmad Fadhli, banyak lagi jawapan yang diperlukan daripada Ahli Parlimen Tambun itu memandangkan pertemuan dengan Yang Dipertuan Agong itu ditulis dengan laras bahasa yang berlapik dan disulam keterujaan serta adab yang diletakkan di belakang.

"Tidakkah ganjil apabila PMX membuat hantaran kenyataan media sekitar dua jam lebih awal daripada kenyataan rasmi Istana Negara?

"PMX menggunakan gambar arkib, bukan gambar semasa pertemuan bersama YDPA sebelum menukar gambar yang terbaru. Beliau menulis maklumat daripada hasil pertemuan melebihi apa yang disampaikan daripada Istana Negara.

"PMX menulis tentang isu percaturan politik, Istana Negara tidak menulis berkaitan isu tersebut. Dalam pertemuan rasmi dan penting melibatkan pihak istana, ‘keterujaan’berkongsi tidak perlu sampai menjadi lebih sudu dari kuah. Langkah apa yang cuba dibuat PMX? Mohon penjelasan,” jelasnya.