Polis tumpaskan sindiket seludup heroin guna patung seni katak

Iklan
Kamarudin menunjukkan acuan patung seni yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di ibu kota pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Taktik tiga individu termasuk seorang wanita menyembunyikan dadah di dalam patung seni katak untuk mengaburi mata pihak polis sebelum diseludup ke Hong Kong tidak berhasil apabila diberkas di sebuah kondominium di Ibu kota, pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, hasil perkongsian maklumat pihaknya bersama Biro Narkotik Hong Kong (HKNB) turut merampas serbuk kimia dan heroin base seberat 7.41 kilogram dianggarkan bernilai RM7.89 juta.

Iklan
Iklan

"Kita telah menahan seorang lelaki tempatan, seorang lelaki warga Hong Kong dan seorang wanita warga Mongolia berusia 25 hingga 48 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah bagi pasaran Hong Kong," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Kamarudin berkata, pada masa sama, pihak HKNB turut menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga Hong Kong yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah bagi pasaran negara berkenaan.

Iklan

"Pihak berkuasa negara itu turut merampas heroin base," katanya.

Kamarudin berkata, modus operandi yang digunakan sindiket itu adalah menjadikan premis kediaman tersebut sebagai tempat pembungkusan sebelum diedarkan untuk pasaran Hong Kong.

Iklan

"Patung tersebut dibuat mengikut acuan yang telah disediakan, kemudian dadah yang dibungkus semula akan disembunyikan di dalam patung itu.

Kamarudin menunjukkan dadah yang dirampas.

"Sindiket ini menggunakan khidmat syarikat kurier untuk menyeludup dadah itu ke Hong Kong," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan untuk pembungkusan semula serta acuan membuat patung berkenaan.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 399,168 penagih," katanya.

Kamarudin berkata, saringan awal polis mendapati suspek warga Mongolia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Semakan rekod jenayah terhadap seorang lelaki tempatan, suspek mempunyai satu rekod lampau bersabit kes jenayah di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 6 Januari hingga 12 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.