Pahang rekod RM59 juta kerugian jenayah komersial

Iklan
Yahaya memeriksa perbarisan sempena perhimpunan bulanan Polis Kontinjen Pahang pada Rabu.

KUANTAN - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang menerima 9,026 laporan polis berkait kes penipuan di negeri ini melibatkan nilai kerugian lebih RM59 juta pada tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, daripada keseluruhan laporan polis yang diterima itu sebanyak 2,399 kes dibuka kertas siasatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, JSJK Pahang telah membuat 1,625 tangkapan iaitu meningkat sebanyak 31.7 peratus berbanding 1,234 jumlah tangkapan melibatkan kes penipuan di negeri ini pada 2022.

"Antara yang ditahan termasuk keldai akaun atau individu yang membenarkan akaun bank mereka digunakan sindiket penipuan.

Iklan

"Bagi pertuduhan juga menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 1,176 kes pada 2023, berbanding 957 pertuduhan pada tahun sebelumnya," katanya dalam ucapan sempena perhimpunan bulanan Polis Kontinjen Pahang di sini pada Rabu.

Yahaya berkata, kes-kes penipuan secara dalam talian antara yang paling tinggi direkodkan termasuk skim pelaburan tidak wujud dan penipuan pembelian.

Iklan

"Antara kejayaan JSJK Pahang tahun termasuk tangkapan ke atas seorang wanita suspek utama kes tipu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM10 juta.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pula berjaya menahan lima individu termasuk dua wanita yang dipercayai terlibat dalam 35 kes simbah cat merah dan khianat di kediaman mangsa pinjaman wang haram," katanya.

Justeru Yahaya mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka dan berwaspada dengan kegiatan penipuan yang menggunakan pelbagai modus operandi bagi mengelak ditipu dan mengalami kerugian.