Bella masih berada dalam negara, dua lagi ditahan bantu siasatan

Iklan
Kamarul Zaman (tiga dari kanan) menurunkan tandatangan pada plak perasmian Balai Polis Sri Gading, Batu Pahat pada Rabu.

BATU PAHAT - [DIKEMAS KINI] Polis percaya ibu tunggal, Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu, masih berada di dalam negara.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan masih dijalankan, namun perkara tersebut tidak boleh didedahkan kerana bimbang mengganggu siasatan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, dua lagi individu telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.

"Buat masa ini kita masih lagi membuat siasatan dan ada perkembangan yang saya ‘reserve’ (rahsia) dulu (namun) saya sahkan ada dua tangkapan dan kita telah reman mereka ini.

Iklan

"Saya tak boleh beritahu (secara terperinci) kerana kalau dedahkan mungkin sensitif sebab siasatan sedang berjalan, nanti orang nak bawa keluar Bella pun tak jadi bawa keluar,” katanya.

Kamarul Zaman (tengah) memotong reben sebagai simbolik perasmian Balai Polis Sri Gading, Batu Pahat pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Balai Polis Sri Gading di sini, pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah.

Sebelum ini, Bella yang mempunyai dua anak berusia dua dan empat tahun, dilaporkan hilang selepas didakwa keluar bersama teman lelakinya ke sebuah kedai dobi.

Laporan polis telah dibuat dua kali oleh ahli keluarganya pada 16 dan 18 Disember lepas.

Susulan itu, seramai lima individu telah diambil keterangan oleh pihak polis termasuk teman lelaki Bella berusia 24 tahun yang direman selama tujuh hari bermula 25 Disember lalu bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam perkembangan lain, Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan memberikan kerajasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berhubung kes rasuah membabitkan pegawai dan anggota polis serta seorang ahli patologi di sebuah hospital di negeri ini.

Katanya, siasatan masih berjalan dan pihaknya sentiasa berhubung dengan SPRM bagi mengetahui perkembangan terkini kes berkenaan.

"Ada setengah kes itu sudah buka kertas siasatan tatatertib atas kesalahan yang dilakukan dan pelanggaran tatatertib siasatan terhadap 33 pegawai dan anggota yang terlibat.

"Tak ada mobiliti cuma yang terlibat itu telah kita gerakkan mereka ubah tempat kerja mereka supaya tidak lagi melakukan penugasan tersebut sehingga siasatan selesai,” katanya.

Sebelum itu, Kamarul Zaman memaklumkan seorang pegawai kanan dan dua pegawai rendah termasuk seorang wanita ditahan SPRM, susulan agensi penguat kuasa itu menahan seorang pegawai patologi sebuah hospital.

Penahanan itu dibuat susulan wujud persoalan berhubung ratusan kes dadah yang mungkin dilepaskan dan perlu disiasat semula ekoran aktiviti rasuah itu.

Hasil siasatan SPRM mendapati, 33 pegawai dan penolong pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) seluruh daerah di Johor dipercayai terbabit bersama ahli patologi itu sejak 2018.

Berkenaan banjir di Johor, Kamarul Zaman menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya memantau pergerakan anak-anak ketika musim banjir.

"Pasukan keselamatan sering mengingatkan supaya jangan bermain dengan air ketika musim banjir sama dengan bermain api.

"Api semasa kecil kawan, bila besar jadi lawan.

"Begitu juga dengan air, kalau dilihat ada remaja kanak-kanak malah orang tua sendiri seronok main air," katanya.