SHAH ALAM – Syarikat pengendali dapur hibrid terkemuka negara, COOKHOUSE berjaya memperoleh sijil halal, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam industri makanan Malaysia.
Pengasas COOKHOUSE Malaysia, Huen Su San berkata, pencapaian bersejarah itu menjadikan COOKHOUSE sebagai destinasi utama yang menawarkan ruang dapur komersial berkualiti yang diperakui sebagai premis sedia halal untuk disewa.
Menurutnya, ia juga akan merevolusikan landskap untuk perniagaan sektor makanan dan minuman (F&B) di negara ini.
"Kita menyedari ketiadaan kemudahan yang diperakui halal adalah penghalang utama dalam proses permohonan halal, jadi COOKHOUSE muncul sebagai penyelesaian mampan kepada cabaran yang telah lama wujud ini.
"Kami amat berbangga untuk mempelopori pensijilan halal bagi ruang dapur, menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memperkasa dan menyediakan penyelesaian untuk perniagaan F&B.
"Dengan menangani elemen kritikal proses pensijilan halal, kami berhasrat untuk memudahkan dan mempercepatkan perjalanan bagi pengusaha makanan dan membentuk landskap yang boleh diakses dalam industri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berterima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang membantu dalam memberikan sokongan dan komitmen dalam mengembangkan industri makanan halal di Malaysia.
Su San turut berharap perniagaan makanan besar dan kecil akan dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan.
"Inisiatif premis sedia Halal COOKHOUSE ini adalah bukti dedikasi syarikat terhadap inovasi dan visi untuk menawarkan penyelesaian yang tidak ternilai kepada pengendali makanan.
"Melalui kemudahan yang diperakui ini, perniagaan mendapat laluan yang jelas dan diperkemas untuk mendapatkan pensijilan halal, menghapuskan halangan penting dan memastikan pematuhan dengan piawaian Halal,” ujar beliau.
Tambah Su San, COOKHOUSE kini berada di tiga lokasi iaitu Sunway, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan Bukit Bintang.
Dengan pencapaian penting ini katanya, COOKHOUSE mengulangi kedudukannya sebagai pemangkin kepada perubahan positif dalam sektor F&B.
"Syarikat akan kekal teguh dalam misi untuk memupuk persekitaran yang kondusif kepada pertumbuhan, keterangkuman dan piawaian kecemerlangan untuk semua F&B usahawan,” katanya.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang COOKHOUSE, orang ramai boleh melayari laman web www.cookhouse.com.my atau ke instagram rasmi di www.instagram.com/cookhousemalaysia.