Negeri Sembilan pertimbang tawaran KBS

Iklan
Aminuddin

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan mempertimbangkan tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai geran bernilai RM500,000 bagi menaik taraf sistem saliran dan penanaman rumput di padang stadium negeri sebagai persediaan menghadapi musim baharu Liga Malaysia 2024/2025.

Menteri Besar Negeri Sembilan,Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu juga telah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Jadi kita rasa kita akan pertimbangkan,kita akan lihat apa keperluan sebenarnya," katanya selepas selesai mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Wisma Negeri pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan KBS menawarkan RM7 juta menerusi geran untuk meningkatkan kualiti padang di stadium setiap negeri sebagai persediaan musim Liga Malaysia 2024/2025.

Iklan

Menurut menterinya Hannah Yeoh geran RM500,000 ditawarkan kepada semua 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan untuk kerja-kerja naik taraf sistem saliran dengan kos RM300,000 dan RM200,000 lagi untuk menanam rumput baharu.

Katanya, bagi setiap negeri yang mengambil geran itu, pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berbesar hati untuk mengurniakan sumbangan berjumlah RM300,000 kepada setiap pasukan bagi menampung kos penyelenggaraannya.

Iklan

Bagaimanapun,Aminuddin menjelaskan selenggara padang berkenaan menelan kos RM300,000 lebih setahun dan ia perlu ditanggung oleh kerajaan negeri.

"Kos ini adalah besar,kalau negeri-negeri yang kaya itu lain cerita, negeri-negeri yang tidak mampu,memang tidak mampu kerana stadium hanya digunakan untuk bola sepak, pertandingan.

"Kalau di Bukit Jalil, banyak program boleh digunakan, jadi ini berbeza. Itu antara kekangan yang dilalui oleh kerajaan negeri," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Aminuddin berkata, pihaknya bercadang untuk membaiki semua infrastruktur stadium di negeri ini pada tahun hadapan.

"Tahun ini kita tak bajet (baiki infrastruktur stadium), tetapi tahun hadapan kita kena melihat itu sebagai keperluan utama kita, membabitkan semua stadium termasuk stadium hoki dan 'indoor outdoor' stadium," katanya.